Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggubal akta berkaitan pendidikan awal kanak-kanak bagi memastikan kawal selia berhubung aspek itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata, ia adalah selari dengan langkah mewajibkan pendidikan awal kanak-kanak pada usia lima tahun seperti mana terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, KPM juga akan memperkenalkan Kurikulum Prasekolah 2026 yang berpaksikan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027.

Katanya, kurikulum prasekolah kebangsaan akan dijadikan mandatori kepada semua institusi pendidikan awal kanak-kanak, dengan penekanan kepada nilai karamah insaniah, pembentukan karakter, pemikiran kritis serta kemahiran hidup.

“Kurikulum prasekolah itu menekankan pembentukan sahsiah, keyakinan diri, nilai kasih sayang dan daya tahan melalui pendekatan berasaskan pengalaman yang sesuai dengan tahap umur kanak-kanak.

null

“Bagi menjayakan perkara ini, penguatkuasaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) akan diperkukuhkan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada pembentangan RMK13, akhir bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, dalam konteks peluasan akses prasekolah, KPM menambah 134 kelas pada 2024 dan seterusnya 150 kelas pada tahun 2025.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan akses prasekolah kini mencecah 10,175 kelas berbanding 10,043 pada tahun sebelumnya.

“Sehingga Jun lalu, sebanyak 129 kelas prasekolah baharu dibuka di pelbagai institusi termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG)

“Bagi 2026, KPM menyasarkan tambahan 250 kelas lagi. Usaha peluasan ini dilaksanakan di sekolah dan institusi KPM yang mempunyai infrastruktur sesuai, sekali gus memberi lebih ramai kanak-kanak peluang mendapat pendidikan awal secara percuma,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata, penerimaan kemasukan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke institusi pendidikan tinggi (IPT) adalah sangat tinggi membabitkan 80 hingga 90 peratus.

Beliau berkata, KPM sentiasa komited memastikan kedudukan STPM sebagai kelayakan prauniversiti bertaraf antarabangsa dapat terus dikekalkan.

“Dengan jumlah kemasukan pelajar sekitar 50,000 hingga 55,000 orang setiap tahun, pelbagai langkah sedang dan akan terus dilaksanakan bagi menarik minat lepasan SPM, khususnya melalui Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030.

“Pelan itu memberi tumpuan kepada lima fokus utama, iaitu penjenamaan imej, peningkatan infrastruktur, penambahbaikan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, serta kurikulum yang setara dengan piawaian antarabangsa seperti A-Level,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM turut merancang pembinaan kolej Tingkatan Enam baharu lengkap dengan kemudahan moden supaya laluan ini lebih berdaya saing dan kompetitif. 

Beliau berkata, ketika ini terdapat 635 Pusat Tingkatan Enam di seluruh negara yang meliputi Kolej Tingkatan Enam (Mod 1), Pusat Tingkatan Enam Mod 2, serta Pusat Tingkatan Enam Mod 3.-BH Online