PUTRAJAYA, 20 Ogos – Kerajaan MADANI kekal adil dan menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat tanpa mengira majoriti atau minoriti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap pelaksanaan kerajaan ketika ini mengambil kira keperluan rakyat serta sentiasa terbuka mendengar pandangan demi memastikan kesejahteraan negara.
“Saya mohon pengertian, terutama saudara-saudara tahu bahawa kalau nak selamatkan negara ini, kita kena jamin keadilan bagi majoriti, keadilan bagi minoriti.
“Kita tidak mahu tirani majoriti, kita juga tidak mahu tirani minoriti. Jadi, pendekatan kita harus lebih adil.
“Apa-apa kelemahan, kita baiki. Sekarang kita dengar semua pandangan dalam belanjawan, kita akan ubah suai dan perbaiki. Tidak semestinya apa yang kita lakukan itu sudah sempurna kerana ada kelemahan-kelemahan. Sebab itu dialog harus diteruskan,” katanya.
Beliau menjelaskan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ketika ini tidak semestinya sempurna, namun ruang untuk menambah baik kelemahan sentiasa ada.
Antara fokus turut diberikan dalam pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadual berlangsung Oktober depan.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.-Berita RTM