Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Perjuangan untuk mencari kebenaran dan keadilan terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir perlu berlandaskan undang-undang, bukannya dipengaruhi emosi atau naratif media sosial termasuk teori ciptaan sendiri.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menerima bulat-bulat tuduhan pihak tertentu yang tidak mempunyai kuasa menyiasat yang seterusnya disebarkan di media sosial.

Tambahnya, siasatan yang dijalankan polis mengikut prosedur sudah disertakan laporan bedah siasat oleh empat pakar perubatan, manakala penjelasan perjalanan siasatan kes sudah diberikan kepada keluarga serta peguam.

“Segala-galanya mesti berpandukan undang-undang, sebab itu saya memilih untuk memberi kronologi. Kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya, tetapi adakah ini dapat membantu memujuk mereka yang sudah ada stigma dan membentuk pandangan? Jawapannya tidak.

“Mereka boleh memilih apa yang mereka mahu percaya, malah akan terus mempertikaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2025 dan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Beliau mengulangi bahawa tugas polis adalah menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan siasatan untuk mencari kebenaran dan keadilan. 

“Antara cabaran besar ialah wujud individu mencipta teori sendiri, termasuk seorang guru yang menghasilkan kandungan berkaitan kes itu serta seorang lelaki yang mendakwa dirinya pakar patologi,” katanya. 

Tambahnya, kebenaran tidak boleh ditegakkan dengan menerima bulat-bulat dakwaan tidak sahih, sebaliknya melalui proses siasatan undang-undang.

“Polis mempunyai kuasa sah untuk melaksanakan siasatan. Kita di sini anjurkan siri demonstrasi nak cari kebenaran, nak tegakkan keadilan. Mesti ikut lunas hukum undang-undang, kebenaran tidak boleh dibuat dengan telan bulat-bulat apa yang (didakwa oleh) ‘doktor patologi’ yang kita tangkap semalam.

“Kebenaran dan keadilan tidak boleh ditegakkan dengan cikgu yang buat teori kata Zara dibunuh, didera dengan mesin basuh baju. Kebenaran dan keadilan mesti melalui proses siasatan undang-undang,” katanya.

Semalam, individu disyaki mendakwa pakar patologi terbabit dalam proses bedah siasat jenazah Zara Qairina dan dipercayai menyamar di sebalik akaun TikTok ‘Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar’, berjaya dikesan di Kota Damansara

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu itu bukan pakar patologi, manakala polis sudah mengambil keterangan suspek dan merampas peralatan komunikasi miliknya untuk analisis siasatan lanjut.

Terdahulu kelmarin, guru Bahasa Inggeris yang ditahan polis kerana memuat naik video tular memaparkan kononnya Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh, teori ciptaan sendiri yang kemudian mempengaruhi sebahagian rakyat Malaysia, mengaku ia sekadar ‘content’.

Jelas Saifuddin, polis sudah tentu akan menggunakan hasil siasatan untuk bertindak mengikut aspek perundangan.

“Setakat ini sebanyak 195 keterangan saksi diambil, tentunya ambil sedikit masa untuk betul-betul kemas kini, bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Isnin lalu. 

“Itulah proses sebenar yang kita maksudkan, bahawa polis mesti bertindak mengikut lunas undang-undang untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan,” katanya.

Sebelum ini, beliau menegaskan tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover-up sepanjang proses siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu, sebaliknya semua berlandaskan fakta.-BH Online