Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Operasi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan ditambah baik dengan penugasan pelbagai aset baharu dan penyengaraan infrastruktur yang berterusan.

Aset-aset yang diatur gerak di semua pos penempatan operasi di bawah penyelarasan Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG), antaranya kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4), motosikal scrambler, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

Jelas Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dengan pertambahan aset di kawasan operasi, kawalan di sempadan akan dapat diperkukuhkan, sekali gus mencegah pencerobohan.

“Kementerian Pertahanan melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) telah ditugaskan bagi mengawal sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Bukit Kayu Hitam di Kedah hingga ke Rantau Panjang di Kelantan, bersama-sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Di pihak ATM, penugasan yang melibatkan operasi di perbatasan Malaysia-Thailand meliputi Op Pagar II dan Op Kota Bravo/Charlie/Delta di Kedah dan Op Kota Echo/Foxtrot di Perak serta Op Merpati Sektor 8 Briged di Kelantan,” katanya.

Di samping itu, hubungan bilateral yang baik antara TDM dan Royal Thai Army (RTA) telah wujud melalui perjanjian General Border Commitee (GBC) Malaysia-Thailand.

“Antara kerjasama dua hala yang melibatkan TDM dan RTA adalah Mesyuarat Regional Border Committee (RBC), Mesyuarat Land Working Group (LWG) dan Combined Force Border Patrol (CFBP) yang dikoordinasikan oleh Malaysia-Thailand Border Coordination Office (MTBCO).

Tambahnya, terdapat empat Pos Sempadan Terkoordinasi (PST) telah diwujudkan melalui pembinaan pos secara bersebelahan antara kedua-dua negara, yang secara tidak langsung mengeratkan hubungan dua hala antara TDM dengan RTA.

“Pos-pos tersebut ialah PST Ban Di Da dan Ban Di Samoe di daerah Sik, Kedah manakala PST 34 dan 36/100 di kawasan Durian Burung, Padang Terap, Kedah.

“Dengan penugasan anggota dan penempatan aset-aset pertahanan di samping kerjasama bersama-sama agensi keselamatan lain termasuk dari negara jiran, Kementerian Pertahanan tetap komited dalam memperkukuhkan kawalan sempadan di utara Semenanjung Malaysia bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara kekal terpelihara,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Ahmad Tarmizi meminta Kementerian Pertahanan menyatakan status penempatan anggota dan aset pertahanan di sempadan Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan bagi mengawal risiko pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti rentas sempadan yang semakin aktif sejak 2023.-Berita RTM