Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara, khususnya membabitkan isu penyeludupan di selatan tanah air sehingga membawa kepada penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baru-baru ini.

Beliau berkata, atas dasar itu pihaknya sudah meminta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, supaya menyiasat perkara terbabit secara serius.

Malah, beliau turut memberi jaminan akan membongkar sepenuhnya perkara berkenaan.

“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) juga ambil berat perkara ini. Semalam menghadap Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dibangkitkan lagi perkara ini dan kita akan bongkar sepenuhnya kerana ini saya setuju. Ini soal keselamatan negara, tidak boleh berkompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan berselindung mengenai pihak yang menjual rahsia negara, selain menyifatkan perkara itu merupakan satu perkara besar.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan mula berkrompomi khususnya pihak yang terlibat dalam badan risikan, ia merupakan satu malapetaka buat Malaysia.-BH Online