PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan tenaga nuklear termasuk membabitkan reaktor modular kecil (SMR).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia bagi menilai potensi tenaga itu sebagai sumber tenaga asas yang stabil di kawasan yang menghadapi cabaran yang tersendiri dalam pelaksanaan tenaga boleh baharu (RE).
Katanya, kajian itu juga akan meneliti dengan teliti strategi pengurusan sisa bagi memastikan tenaga nuklear dapat diintegrasikan secara bertanggungjawab dalam ekosistem tenaga lestari negara.
“Selain aspek teknologi, kajian ini turut membabitkan isu perundangan dengan melihat keperluan pindaan undang-undang sedia ada serta pengenalan akta baharu berkaitan nuklear.
“Fokusnya adalah perspektif kawal selia, selain memastikan pematuhan terhadap pelbagai perjanjian antarabangsa. Ketika ini, terdapat 18 perjanjian antarabangsa yang perlu diratifikasi, termasuk ‘123 Agreement’ dengan Amerika Syarikat (AS) sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Binaan Hijau Antarabangsa (IGBC) 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pembangunan modal insan juga perlu diberi penekanan, bukan sahaja dari segi kepakaran teknologi, malah meliputi aspek penguatkuasaan, pemantauan dan keselamatan.
Katanya, penilaian terhadap keselamatan, perlindungan serta keselamatan turut menjadi sebahagian daripada kajian berkenaan bagi memastikan teknologi yang dipilih benar-benar sesuai dan selamat untuk digunakan di Malaysia.
“Lebih penting ialah memastikan penerimaan masyarakat. Libat urus awam amat diperlukan kerana kita maklum persepsi umum mengenai tenaga nuklear, yang biasanya disambut dengan pandangan ‘asalkan bukan di kawasan saya’.
“Hanya selepas aspek penerimaan awam, perundangan dan kawal selia dimuktamadkan, barulah kerajaan boleh membuat keputusan muktamad,” katanya.
Menyentuh mengenai lokasi, Fadillah menjelaskan tiada cadangan khusus ditetapkan setakat ini, namun Semenanjung Malaysia dan Sabah dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi kerana keterbatasan sumber RE di kedua-dua wilayah itu.
Katanya, sumber tenaga alternatif seperti hidro, solar, biomas dan biogas di Semenanjung serta Sabah masih terhad dan tidak mencukupi untuk menampung permintaan tenaga asas.
“Lokasi sebenar hanya akan ditentukan selepas dasar dimuktamadkan, termasuk melalui penilaian impak alam sekitar (EIA) serta libat urus masyarakat setempat.
“Buat masa ini, kita menerima maklum balas positif dan dorongan untuk mempercepatkan proses kajian, namun kerajaan tetap perlu melalui semua pra-syarat sebelum membuat keputusan.
“Hanya selepas semua syarat dipenuhi, barulah kerajaan boleh menentukan sama ada tenaga nuklear akan dimasukkan dalam campuran tenaga negara pada masa depan,” katanya.-BH Online