Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan secara konsisten, termasuk pengeluaran notis kesalahan, dilihat pendekatan berkesan serta dapat meningkatkan tahap pematuhan rakyat terhadap peraturan dan undang-undang kawalan tembakau meliputi vape.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memaklumkan sebagai contoh, kajian terbaru di Thailand pada tahun ini menunjukkan tindakan penguatkuasaan berterusan memberi kesan positif terhadap pematuhan kepada peraturan berkenaan.

“Ini sejajar Artikel 5.2(b) WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang menekankan keperluan setiap negara melaksanakan langkah perundangan dan pentadbiran berkesan termasuk penguatkuasaan, sebagai elemen utama bagi memastikan dasar kawalan produk merokok dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai keberkesanan pendekatan pengeluaran lebih 43,000 notis kesalahan sebagai strategi utama, dan sejauh mana pendekatan itu terbukti mengurangkan tabiat merokok serta penggunaan vape dalam kalangan remaja dan golongan rentan.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober tahun lalu menandakan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menguatkuasakan kawal selia ketat terhadap produk merokok.

“Biarpun masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan pelaksanaannya secara menyeluruh, pendekatan ini sejajar bukti saintifik yang menunjukkan kawalan ketat mampu mengurangkan tabiat merokok dan penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja serta golongan rentan, dengan mengehadkan akses serta pendedahan mereka kepada produk berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pengeluaran notis kesalahan juga selaras Akta 852 yang memperuntukkan kuasa kepada pegawai diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran mana-mana peraturan atau perintah ditetapkan bawah akta itu.

“Hingga Jun lalu, seramai 6,517 pegawai diberi kuasa sudah dilantik terdiri daripada 6,346 pegawai KKM dan 171 pegawai daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh serta berkesan di seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, KKM dilapor sudah mengeluarkan 43,455 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun berjumlah RM10.42 juta sejak Akta 852 dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 hingga 20 April lalu.

Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam KKM, Dr Zulhizzam Abdullah, dipetik berkata jenis kesalahan tertinggi adalah bawah Seksyen 16(2), iaitu larangan merokok di kawasan atau tempat larangan merokok, membabitkan 41,421 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM10.35 juta.

Selain itu, sebanyak 1,382 notis kesalahan dikeluarkan bawah Seksyen 17(1), iaitu larangan merokok oleh orang belum dewasa (OBD) dengan nilai kompaun RM69,100.

Kesalahan lain termasuklah larangan pengiklanan produk merokok, larangan promosi atau tajaan produk merokok, larangan penjualan produk merokok secara dalam talian, serta berkaitan pembungkusan produk merokok yang menyerupai permainan atau makanan, dengan 74 kertas siasatan dibuka.-BH Online