Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Isu berkaitan pendidikan dan kesihatan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah serta Sarawak terus menunjukkan kemajuan apabila sebahagian besar tuntutan yang dikemukakan sudah dipersetujui bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2025 di sini semalam.

Katanya, bagi isu pendidikan, persetujuan bersama dicapai berhubung pembabitan kerajaan negeri dalam perancangan projek pembangunan pendidikan, perkongsian maklumat berkenaan perpindahan pegawai kanan serta penyaluran peruntukan bagi program pembangunan profesional.

Bagi isu kesihatan pula, beliau berkata mesyuarat dimaklumkan beberapa tuntutan kerajaan negeri turut dipersetujui termasuk peningkatan peruntukan belanja mengurus dan pembangunan, pemberian kuasa autonomi kepada pengarah kesihatan negeri serta pengukuhan sumber manusia di kedua-dua negeri.

“Bagaimanapun, beberapa perkara lain yang belum dipersetujui akan terus dibincangkan melalui Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Pendidikan.

“Perkara yang belum dimuktamadkan dalam isu kesihatan akan terus dibincangkan menerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kesihatan.

“Semua tuntutan lain yang masih dalam perbincangan akan dipantau secara berterusan oleh Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 serta jawatankuasa kerja berkaitan di bawah kementerian bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat MTPMA63 semalam yang dipengerusikan oleh Fadillah itu diadakan sebagai persiapan menjelang Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 di Kuching pada 12 September ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, wakil daripada kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Sarawak diwakili tiga Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, manakala Sabah diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Fadillah berkata mesyuarat itu juga membincangkan dua kertas makluman yang dibentangkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Kedua-dua kertas berkenaan sudah dipersetujui untuk dibawa ke Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 bagi dimuktamadkan pelaksanaan serta kaedah tindakan susulan,” katanya.-BH Online