Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Dasar Luar Malaysia yang bebas dan berkecuali, melalui pendekatan berprinsip dan pragmatik, telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara yang aktif dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Sekali gus, mengiktiraf peranan penting Kementerian Luar dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang sangat signifikan sebagai antara peneraju utama dalam meningkatkan tahap sosioekonomi negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia turut terbukti dalam Kajian Separuh Penggal Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri 2021–2025, yang bertujuan menjayakan Aspirasi RMK13.

Pelan tersebut merangkumi perkhidmatan efisien kepada pemegang taruh dan pelanggan, diplomasi awam serta komunikasi strategik yang berkesan, selain pengukuhan institusi demi kecemerlangan sumber manusia.

“Aspirasi RMK13 disokong oleh ketujuh-tujuh teras strategik dasar luar yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Luar.

“Antaranya, berhubung dengan pengukuhan diplomasi dua hala dan pelbagai hala, peranan proaktif dalam ASEAN serta pemeliharaan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

“Dalam konteks ini, Kementerian Luar yang berperanan sebagai penghubung utama antara Kerajaan Malaysia dan negara-negara luar akan terus berada di barisan hadapan dalam mencapai objektif dasar luar Malaysia,” katanya.

Datuk Seri Mohamad berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan RMK13 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini.

Pelaksanaan pelan itu secara tidak langsung terus memacu dasar berkenaan bagi memastikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.-BH Online