Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Agihan komputer riba terpakai untuk kegunaan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dilaksanakan tanpa menggunakan peruntukan dana yang besar.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, menjelaskan, penjimatan perbelanjaan untuk tujuan itu boleh digunakan bagi membiayai program lain supaya lebih ramai masyarakat India menerima manfaat.

Oleh itu, katanya peruntukan diterima MITRA tidak besar seperti diterima kementerian membuatkan unit itu perlu ‘sedar diri’ dengan peruntukan kewangan diterima bagi membiayai inisiatif khusus untuk masyarakat India.

“Kenapa beri komputer riba second hand (terpakai)? Ini adalah MITRA. Kita bukan Kementerian Pendidikan (KPM), kita bukan Kementerian Komunikasi. Kita bukan Kementerian Digital. Kita kena buat secara berpatutan.

“Kalau sekarang kita sudah beri komputer riba kepada 520 sekolah SJKT sebanyak 6,000 unit, ini diberikan juga berdasarkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Google sendiri.

“Kalau kita berikan komputer riba baharu, kita akan menggunakan dana yang sangat besar. Kalau kita gunakan dana yang sangat banyak ini, bagaimana untuk mengendalikan program-program yang lain,” katanya pada sidang di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas dakwaan komputer riba yang disumbangkan oleh MITRA tidak berkualiti, Ramanan berkata setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa aduan dan rungutan daripada guru besar.

Beliau juga tidak menerima aduan dalam kalangan pelajar yang menerima komputer riba itu, termasuk ibu bapa.

“Pihak guru besar tak buat apa-apa aduan pun. Pihak daripada pelajar-pelajar, ibu bapa tak buat apa-apa aduan. Walaupun ada beberapa isu, kita bukan sempurna. Tuhan saja yang sempurna. Sedikit kelemahan itu terus diperbaiki.

“Jadi saya tak faham tohmahan ini untuk apa. Kalau nak cari kepentingan politik jangan gunakan komuniti kita. Gunakan benda yang lain.

“Sudah banyak kali kita beritahu jangan gunakan kaum dan agama. Jadi saya rasa kelakar bila saya dengar (tohmahan) ini,” katanya.

Pagi tadi di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan komputer riba untuk SJKT sebanyak RM2.99 juta membabitkan 6,000 unit komputer secara berperingkat.-BH Online