KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan salah laku buli perlu diperangi habis-habisan dan perlu dijadikan petunjuk prestasi utama oleh pentadbir sekolah.
Katanya, beliau berjanji akan memberikan insentif khas jika sekolah berjaya mencatat ‘sifar buli’.
“Salah laku buli juga perlu diperangi habis-habisan. Ia perlu dijadikan petunjuk prestasi utama oleh pentadbir sekolah. Saya berjanji akan memberikan insentif khas jika sekolah ini (SMK Dr Burhanuddin) berjaya mencatat ‘sifar buli’,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Hantaran itu sempena lawatan beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr Burhanuddin di Taiping, semalam.
“Sepetang bersama dengan putera dan puteri SMK Dr Burhanuddin di Taiping semalam terasa begitu singkat. Ini kali pertama saya sampai ke mari. Anak-anak dan guru menyambut saya dengan mesra sekali.
“Saya mahu anak-anak di SMK Dr Burhanuddin untuk terus gigih berusaha bagi meningkatkan pencapaian akademik.
“Sebenarnya sekolah ini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dalam beberapa tahun terakhir. Namun ia masih boleh dipertingkatkan,” katanya.null
Beliau turut mengumumkan insentif khas RM100,000 kepada SMK Dr Burhanuddin di Taiping, Perak bagi menambah baik infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan demi keselesaan murid, guru, dan seluruh warga sekolah berkenaan.-BH Online