CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan cubaan segelintir pihak yang sengaja mencetuskan api perkauman serta memainkan isu sensitif bagi memecahbelahkan perpaduan negara.
Perdana Menteri berkata Malaysia adalah negara hukum yang mempunyai sistem undang-undang tersusun serta tegas dan sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terbabit.
“Ini negara hukum. Negara hukum ini ada peraturan dia. Jadi, Kementerian Perpaduan ini diwujudkan kerana bagi saya, politik harus stabil.
“Negara ini mesti diajar dan belajar daripada negara lain. Mana ada negara di dunia, bila bangkit soal benci kaum, benci agama (akan) selamat,” katanya pada program Temu Anwar di Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan seorang mahasiswa berkaitan usaha kerajaan memperkukuh agenda penyatuan nasional serta membanteras fahaman perkauman daripada terus berakar umbi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kestabilan politik dan perpaduan nasional menjadi agenda utama kerajaan.
“Mana ada negara selamat bila dibenarkan suara kebencian kaum, agama berleluasa. Kita perlu tegas memastikan api perkauman tidak ditiup oleh mana-mana pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memuji tahap kesedaran generasi muda yang mementingkan usaha mempertahankan perpaduan negara.
“Harapan saya cukup cerah bila lihat anak-anak muda hari ini berfikiran matang dan positif mengenai perpaduan.
“Cuma kita kena sedar masih ada golongan yang cuba menghasut dan memutar belit fakta,” katanya.
Mengambil contoh kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir, Anwar sekali lagi menegaskan kerajaan tidak pernah menyembunyikan fakta atau melindungi mana-mana pihak.
“Kalau membabitkan pembunuhan atau buli, saya tak peduli anak siapa sekali pun, kalau buat salah, kita akan siasat dan dakwa,” katanya.-BH Online