Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR GAJAH: Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Tunas Istimewa@KEMAS diiktiraf antara 42 inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang membawa perubahan besar kepada masyarakat atau ‘game changer’, tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu sebagai usaha memperluas akses pendidikan awal kepada kanak-kanak istimewa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata penubuhan TABIKA terbabit sejajar Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) serta termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

“Kita tahu potensi kanak-kanak istimewa ini perlu digali, sama ada mereka dalam kalangan kanak-kanak biasa atau anak istimewa yang memerlukan ekosistem pendidikan khas.

“Kanak-kanak istimewa ini jangan dianggap beban, sebaliknya hikmah dan amanah Allah SWT yang perlu kita pelihara, didik dan bimbing untuk menjadi insan berjaya di dunia serta ahli syurga di akhirat, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program TABIKA Tunas Istimewa@KEMAS di TABIKA KEMAS Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid berkata, KEMAS melancarkan tiga projek rintis TABIKA Tunas Istimewa@KEMAS bagi menyediakan peluang pendidikan awal khusus untuk kanak-kanak autisme berumur lima dan enam tahun.

Katanya, ia membabitkan TABIKA KEMAS Air Hitam Pantai di Alor Gajah, TABIKA KEMAS Hang Jebat A di Melaka Tengah dan TABIKA KEMAS Merlimau Barat 2 di Jasin, dengan kapasiti menempatkan 42 kanak-kanak autisme.null

Beliau berkata, projek berkenaan akan diperluaskan ke seluruh negara secara berfasa bermula tahun depan, dengan setiap negeri akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah TABIKA Tunas Istimewa, sebelum diperluaskan kepada sebuah TABIKA di setiap daerah menjelang 2027.

“Projek rintis berkenaan hasil kerjasama strategik dengan kerajaan Melaka, susulan keputusan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama EXCO Luar Bandar pada 10 Mei tahun lalu,” katanya.

Katanya, pelaksanaan itu juga seiring aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menekankan pendidikan inklusif serta pemerkasaan kanak-kanak berkeperluan khas dalam agenda pembangunan luar bandar.

“Program berkenaan turut mendapat kerjasama beberapa agensi utama kerajaan termasuk Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan (KPM) yang bertanggungjawab membangunkan kurikulum dan modul pengajaran yang sesuai untuk murid autisme, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula terbabit dalam proses saringan serta penentuan kelayakan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) pula menyokong aspek saringan kesihatan dan pengesanan awal bagi memastikan murid menerima intervensi yang tepat pada masanya,” katanya.-BH Online