KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima tiga pesawat tanpa pemandu (UAS) ANKA buatan Turkish Aerospace Industries (TAI) dari Turkiye pada Februari depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengoperasian UAS ANKA bakal memperkukuh keupayaan perisikan, pemantauan dan peninjauan (ISR) TUDM, sekali gus meningkatkan keberkesanan pemantauan secara masa nyata, penyaluran maklumat pantas serta tindak balas lebih cekap.
“Kerajaan komited memanfaatkan teknologi baharu, khususnya teknologi dron atau UAS bagi memperkukuh keupayaan pemantauan, pengawasan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan darat, perairan mahupun ruang udara,” katanya dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.
Mohamed Khaled menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) sama ada kementerian bercadang menggunakan teknologi dron secara optimum dalam pemantauan sempadan serta cabaran utama pelaksanaannya supaya pelaburan teknologi benar-benar meningkatkan keselamatan dan kecekapan kawalan di sempadan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri dan agensi berkaitan, membangunkan kepakaran tempatan serta memastikan pemindahan teknologi yang berkesan.
“Selain itu, kerajaan akan mempertingkat latihan dan persijilan operator agar pelaburan teknologi dron benar-benar memberikan impak maksimum kepada sistem pertahanan dan keselamatan persempadanan negara,” katanya.-BH Online