Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pegawai dan anggotanya yang didapati terbabit rasuah termasuk di peringkat tertinggi yang mana ia turut mencemarkan imej pasukan berkenaan. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau tidak menafikan gejala itu wujud dalam pasukan dan menegaskan tindakan tegas akan diambil kepada setiap anggota tanpa mengira kedudukan atau pangkat jika terbabit rasuah.

“Kita tengok ada banyak yang ditangkap (anggota polis terbabit rasuah) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) tangkap pun ramai.

“Jika terbabit (rasuah), kita ambil tindakan. Majoriti polis buat kerja bagus berkhidmat untuk masyarakat dan segelintir kecil terbabit rasuah, ini yang perlu ditangani secara tuntas,” katanya selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap terbitan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, malam tadi.

Antologi Puisi Makan Suap mengandungi puisi bertema antirasuah dan penyelewengan hasil nukilan 137 pemuisi baharu dan mapan seluruh tanah air termasuk Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. 

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, ramai pegawai dan anggota diambil tindakan. 

“Kalau ada pegawai terbabit saya ambil tindakan. Ramai pegawai, anggota yang diambil tindakan tuduh di mahkamah dan dibuang kerja. 

“Di Johor, ada pegawai dan anggota diambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Di JSJN ada (beberapa) pegawai berpangkat Superintendan, Asisten Superintendan dan Inspektor dikenakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan ‘menyapu bawah karpet’ sebarang kesalahan warganya kerana ia hanya akan memburukkan keadaan, isu rasuah tidak pernah selesai hingga semakin parah.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berkata, walaupun ada segelintir kecil pihak luar atau dalam PDRM yang cuba membawa naratif bahawa sukar untuk membanteras isu rasuah dalam pasukan itu, namun beliau akan tetap teguh dengan prinsip dan komitmen terus menangani budaya tercela itu. 

Katanya, PEMUISI turut bersama berjuang memerangi amalan rasuah atau makan suap dengan cara yang tersendiri termasuk dengan penerbitan antologi puisi berkenaan yang mengandungi puisi bertemakan antirasuah dan penyelewengan. 

Menurutnya, ia sekali gus bertepatan matlamat Kerajaan MADANI untuk memerangi rasuah sebagai musuh utama negara.-MyMetro Online