SHAH ALAM: Isu agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah dimuktamadkan, dengan tidak akan berlaku pertindihan kerusi antara dua gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah nanti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menegaskan tidak ada perundingan secara langsung dibuat antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam soal agihan kerusi.
“Yang telah dimuktamadkan ialah (kerusi) BN dengan PH dan kita menghormati (kerjasama) PH-GRS. Tidak ada perundingan secara langsung antara BN dengan GRS, tidak ada. Jadi, setakat itu sahaja.
“Perundingan-perundingan yang lainnya (tak ada untuk) dielakkan pertandingan tiga penjuru ataupun pertindihan kerusi (akibat rundingan) dilakukan di belakang tabir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyempurnakan perasmian Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 Tahun 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.
Sebelum ini ada yang melihat hasrat membentuk gabungan BN, PH dan GRS bagi menghadapi PRN Sabah semakin sukar apabila rundingan pembahagian kerusi menemui jalan buntu.
Bagaimanapun gabungan itu diyakini mampu mengelak perpecahan undi dan menjamin kemenangan majoriti, namun tuntutan GRS untuk bertanding di sekurang-kurangnya 70 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mencetus kebimbangan, terutama di kawasan tradisi BN.
Sekiranya GRS berkeras dengan tuntutan itu, peluang pembentukan pakatan besar mungkin terkubur, namun jika GRS bersedia mengendurkan tuntutan dan berunding semula, laluan ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri boleh direalisasikan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid percaya sudah tentu pertandingan tiga penjuru dalam PRN Sabah di banyak kerusi tidak dapat dielak memandangkan terlalu banyak parti baharu di negeri itu yang berhasrat untuk bertanding.
“Jadi ‘the more the merrier’ (lebih banyak lebih meriah). Itu terpulang kerana itu landskap politik di Sabah. (Yang pasti) BN-PH tidak ada pertindihan kerusi dan itu kita telah muktamad,” katanya.-BH Online