KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi negara yang kekal pada kadar 4.4 peratus pada suku kedua 2025, membuktikan keupayaan kerajaan dengan disokong sektor swasta dalam mengekalkan kestabilan bekalan dan mengurus inflasi dengan baik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata antara faktor utama pertumbuhan itu didorong peningkatan permintaan domestik khususnya perbelanjaan isi rumah kepada 5.3 peratus, manakala sektor perkhidmatan kekal penyumbang utama, khususnya subsektor borong dan runcit serta makanan dan minuman.
Beliau berkata, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) turut merekodkan pertumbuhan sektor perkhidmatan 5.1 peratus pada suku kedua, berbanding 5.0 peratus pada suku pertama.
Pada masa sama, katanya kadar inflasi juga berjaya dikawal apabila menurun kepada 1.3 peratus pada suku kedua, berbanding 1.5 peratus pada suku pertama.
“Ini memperlihatkan keupayaan bukan hanya kerajaan tetapi dengan sokongan sektor swasta yang berjaya mengekalkan bekalan stabil dan mengurus inflasi dengan baik.
“Alhamdulillah, kita berharap momentum ini dapat diteruskan melalui pendekatan menyeluruh kerajaan bersama rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) dan Pelancaran Menu Promosi Bulan Kebangsaan di cawangan Ali, Muthu & Ah Hock Kopitiam di sini, hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilapor berkata pertumbuhan ekonomi negara kekal pada kadar 4.4 peratus pada suku kedua 2025 sekali gus meletakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi separuh pertama 2025 pada kadar sama.
Ia menepati ambang unjuran rasmi empat peratus hingga 4.8 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh walaupun dalam ketidaktentuan perdagangan global dan geopolitik dunia.
Armizan dalam pada itu, berkata KPDN turut menghargai usaha kopitiam tempatan, Ali, Muthu & Ah Hock yang tampil memaknai Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 dengan menawarkan promosi 50 peratus untuk menu Nasi Lemak daripada harga asal RM13.90 kepada RM6.80.
Tambah Armizan, pemain industri lain termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu mencontohi pendekatan itu dengan memperkenal strategi promosi kreatif, termasuk secara digital.
“Sebagai kementerian peneraju Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), KPDN menyeru semua pemain industri tempatan termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tampil dengan strategi terbaik untuk mempromosi produk masing-masing.
“Ini termasuk memanfaatkan promosi digital kerana tahun depan negara akan melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Usaha promosi perlu bermula dari sekarang supaya bukan sahaja menarik pengguna tempatan, malah juga pelancong asing untuk merasai keunikan dan kekuatan jenama serta produk Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan KPDN akan sentiasa menekankan kepentingan pensijilan halal dalam memacu pembangunan industri makanan dan minuman negara.
Menurutnya, pihak kementerian bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengurangkan birokrasi bagi mempercepat proses mendapatkan sijil halal.
“Dalam RMK13, kita merancang mewujudkan Suruhanjaya Halal kerana pensijilan ini bukan hanya penting kepada pengguna Muslim tempatan, tetapi juga aspek kebersihan dan keselamatan makanan serta berpotensi menarik pelancong asing.
“Usaha ini sebahagian elemen memudah cara perniagaan yang akan membantu peniaga memperkukuh daya saing mereka di pasaran,” katanya.-BH Online