KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengakui kemungkinan untuk menambah baik undang-undang sedia ada bagi menangani isu buli.
Beliau berkata, ia mengambil kira perkembangan semasa termasuk apa yang berlaku ketika ini yang mungkin boleh memberi idea baharu kepada penambahbaikan perundanga.
Katanya, jika ada keperluan selepas mengambil kira situasi terkini, mungkin undang-undang sedia ada perlu ditambah baik.
“Bagaimanapun, kementerian ini bukan pihak yang bertanggungjawab secara langsung terhadap penggubalan undang-undang, sebaliknya perkara itu berada di bawah bidang kuasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.
“Namun, kami boleh memberi cadangan atau idea dalam perbincangan Kabinet jika ada perkara yang perlu dibangkitkan berkaitan isu buli ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Gempak Inspirasi @Sepagi Bersama Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), di sini, hari ini.
Semalam, Gerakan Gubal Akta Anti Buli (GAB) menggesa kerajaan menggubal akta antibuli yang merangkumi takrifan buli, elemen kesedaran dan pencegahan serta prosedur aduan.
Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan dilapor berkata ketika ini kesalahan buli tidak mempunyai takrifan dan hukuman spesifik di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, sebaliknya mengguna pakai Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang tidak mencukupi untuk melindungi mangsa buli, sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Dalam pada itu, Nancy berkata setakat ini belum ada keperluan untuk mewujudkan undang-undang baharu bagi menangani isu buli kerana peruntukan berkaitan kesalahan itu sudah pun termaktub dalam Kanun Keseksaan.
Meskipun kes buli semakin mendapat perhatian, katanya tindakan undang-undang terhadap pelaku tetap boleh diambil berdasarkan peruntukan sedia ada tanpa perlu mewujudkan akta baharu.
Beliau berkata, Kanun Keseksaan sudah menyatakan bahawa buli adalah satu kesalahan jenayah dan menetapkan penalti terhadap pelaku.
“Kalau tidak ada peruntukan itu, kita tidak boleh kenakan hukuman dan Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 bagi kesalahan berkaitan buli, sekali gus membuktikan bahawa mekanisme perundangan sedia ada masih relevan dan boleh digunakan.
“Setakat ini belum ada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu dan apa yang penting ialah pelaksanaan dan penguatkuasaan yang tegas,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan semua pihak, termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat untuk memainkan peranan dalam membendung isu buli daripada terus berleluasa.
Isu buli kebelakangan ini semakin mendapat perhatian selepas beberapa insiden membabitkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi tular di media sosial, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.-BH Online