Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ipoh: Menghormati Jalur Gemilang dengan tidak mengibarkan secara terbalik, dibiarkan lusuh atau koyak adalah tanggungjawab rakyat Malaysia dalam memahami erti sebuah negara merdeka.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menjadi tanggungjawab bersama untuk saling memperbetulkan jika terdapat cara pemasangan Jalur Gemilang yang salah termasuk dengan memberikan pencerahan dan kefahaman sebagai tanda rakyat Malaysia yang cakna dan peduli.

Beliau berkata, menghormati Jalur Gemilang melangkaui soal bangsa, warna kulit, agama, serta politik kepartian kerana Jalur Gemilang adalah panji negara dan antara warisan paling berharga melambangkan kemerdekaan, selain lambang maruah, kedaulatan, dan kesatuan rakyat Malaysia.

Menurutnya, cara menghormati bendera mencerminkan cara menghormati negara memandangkan bendera adalah wajah negara, di mana pada setiap kibaran Jalur Gemilang terpantul maruah, sejarah, dan masa depan.

“Maka, jagalah kemuliaannya dengan rasa hormat sebagaimana kita menjaga nama baik diri, keluarga dan negara. Setiap kali ia berkibar megah, biarlah hati kita turut berkobar dengan semangat merdeka, menyedarkan bahawa di bawah panji inilah kita bersatu, kita berjuang, dan kita akan terus melangkah membina masa depan.

“Kalau salah cara pemasangan sama-sama kita betulkan. Kalau ada yang tidak faham, sama-sama kita beri pencerahan dan inilah tanda kita rakyat yang cakna dan peduli,” katanya ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi.

Kata Saarani, melangkah ke bulan Ogos, kerajaan negeri menyeru semua pihak terutamanya jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, dan lain-lain untuk mengibar Jalur Gemilang di setiap premis masing-masing, serta di seluruh kawasan tumpuan awam dan kediaman.

Katanya, perpecahan, sikap sambil lewa, atau hilangnya semangat patriotisme tidak seharusnya dibiar meruntuhkan apa yang sudah dibina oleh perajurit, anggota keselamatan, dan seluruh rakyat yang mempertahankan negara ini dengan darah, keringat, dan air mata.

“Di medan perjuangan dahulu, musuh mereka ialah penjajah. Di medan kita hari ini, musuhnya ialah kealpaan, permusuhan dan perpecahan. 

“Mereka mengorbankan sebahagian usia, meninggalkan keluarga, malah ada yang mengorbankan nyawa, demi memastikan impian kita melihat negara yang merdeka, aman, makmur dan sejahtera. Kita adalah pewaris impian itu dan amanah ini kini berada di tangan kita,” katanya.

Katanya lagi, sambutan kemerdekaan harus dijadikan sebagai ikrar yang hidup untuk terus menjaga keamanan, memupuk perpaduan, dan membina negara dengan seluruh daya dan upaya dengan tidak sesekali membiarkan kemerdekaan yang dikecapi hanya tercatat pada tarikh di kalendar.

“Biarlah ia hidup di setiap denyut nadi kita yang dengan nikmat keamanan itu, mudah-mudahan kita menjadi insan yang selalu bersyukur,” katanya.-MyMetro Online