KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang sudah berusia lebih 30 tahun.
Baginda yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan MINDEF supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.
“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan agent atau bekas jeneral yang menjadi salesman, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual drone.
“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah, maka peruntukan yang ada tidak akan cukup. Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah baginda seperti dikongsi di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim memberi teguran demikian dalam Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing di Johor, hari ini.
Baginda juga menitahkan kerajaan supaya memberi keutamaan kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas dengan memastikan setiap perolehan aset tentera dibuat secara teliti, iaitu berlandaskan harga pasaran dan keperluan sebenar pengguna, bukannya mengikut cadangan ejen semata-mata.
Seri Paduka bertitah, pembelian aset yang tidak relevan atau terlalu mahal bukan saja merugikan, malah membazirkan peruntukan negara.
“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titahnya.
Sultan Ibrahim mengimbas kembali teguran baginda lima tahun lalu berhubung pembelian bot Rigid Riding Craft (RRC) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot yang lebih baik boleh diperoleh bawah RM2 juta.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, cadangan membeli bot yang sama tapi dengan saiz lebih besar bernilai RM10 juta sebagai tidak masuk akal dan harus diteliti secara betul.
“Selain daripada harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan. Apa sudah jadi dengan kolam selam tempur di kem ini yang sepatutnya siap pada 2022, tetapi sehingga kini masih belum boleh digunakan,” titah baginda.
Mac lalu, media melaporkan MINDEF merancang untuk membuka semula tender kontrak sewaan helikopter Black Hawk jenis UH-60 untuk digunakan Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas syarikat dilantik sebelumnya, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan berkata, beberapa syarikat telah pun mengemukakan kertas cadangan bagi menawarkan diri untuk membekalkan helikopter berkenaan.
“Buat masa ini, parameter dia tetap kekal di mana nilai projek masih di paras RM200 juta dan kita memerlukan sewaan lima tahun untuk empat helikopter ini. TDM masih lagi membuka ruang untuk sebarang cadangan daripada mana-mana pihak berminat dan berkemampuan untuk projek pembekalan ini,” katanya.
November lalu, MINDEF menyerahkan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat yang sebelum itu memenangi tender berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata tindakan itu diambil selepas syarikat berkenaan gagal memenuhi tarikh akhir ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober lalu.
Awal bulan ini, sebuah portal berita melaporkan Bahagian Perolehan MINDEF telah mengeluarkan satu tender yang akan ditutup pada 26 September depan, bagi penyewaan empat helikopter utiliti untuk tempoh lima tahun bagi TDM dengan kos anggaran RM185,185,224.00.-BH Online