Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Prestasi ekonomi Malaysia yang utuh pada separuh pertama 2025 meskipun berdepan ketidaktentuan global, membuktikan bahawa dasar di bawah kerangka Ekonomi MADANI sedang membuahkan hasil untuk negara dan rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kadar pengangguran turun kepada tiga peratus berbanding 3.1 peratus pada suku sebelumnya, manakala inflasi keseluruhan menyederhana kepada 1.3 peratus berbanding 1.5 peratus pada suku sebelumnya, menggambarkan prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan.

Katanya, pengukuhan ringgit sebanyak 5.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2025, menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia seterusnya mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi dan fiskal negara.

“Justeru, Kerajaan MADANI akan terus komited dalam mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF).

Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025, dipacu permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global dan geopolitik dunia.

Justeru, ia meletakkan pertumbuhan KDNK bagi separuh pertama 2025 pada 4.4 peratus, menepati ambang unjuran rasmi 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.

Melangkah ke hadapan, langkah tarif yang diumumkan baru-baru ini menimbulkan cabaran baharu kepada industri terbabit. 

Sehubungan itu, Kerajaan MADANI giat memantau potensi impak perkembangan itu dan kekal komited untuk menyediakan sokongan bersasar bagi melindungi daya saing serta meminimumkan gangguan perdagangan.

Langkah itu, bersama-sama dengan reformasi struktural yang lebih meluas, telah menyokong momentum pertumbuhan yang stabil dan menyeluruh pada suku itu.

Berpandukan kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang baru diumumkan, Kementerian Kewangan sedang merangka Belanjawan 2026 melalui sesi libat urus komprehensif bersama pihak berkepentingan di pelbagai sektor dan negeri. 

Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2026 yang dikeluarkan baru-baru ini, keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan langkah reformasi ekonomi dan struktural bagi memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara saksama dan mampan oleh rakyat.

Usaha itu penting untuk mengukuhkan asas ekonomi serta memastikan Malaysia kekal tangkas dan berdaya tahan dalam persekitaran global yang dinamik.-BH Online