PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang sengaja menggugat keharmonian, keamanan dan keselamatan negara.
Perdana Menteri menegaskan, masa untuk memberi amaran atau teguran sudah berakhir demi menyelamatkan negara ini daripada terjerumus ke dalam suasana yang tidak diinginkan.
“Maka dengan mandat diberikan, saya ingin jelaskan di sini, dari hal sebesar seperti kematian anak kita, Zara (Zara Qairina Mahathir) di Sabah kepada isu Jalur Gemilang yang harus kita muliakan, semua ini menjadi agenda untuk menghangatkan suhu.
“Sebab itu saya menggesa dan beri arahan jelas kepada badan penguatkuasaan, ada sahaja mana-mana unsur, tokoh besar atau kecil, tokoh politik atau masyarakat yang terbabit dalam jenayah ugutan, hasutan seperti ini, saya ingin tegaskan, sudah, masa amaran (sudah berakhir), orang mual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar berkata, demokrasi menjadi tonggak dalam sistem pemerintahan negara dengan sikap melampau, ketelanjuran, keangkuhan, kebiadaban harus dihentikan.
“Sikap buli, sikap merendahkan darjat orang berdasarkan kaum atau keturunan, atau warna kulit, atau apa sahaja. Hal ini, mesti dan wajib dihentikan dari seluruh kekuatan.
“Tindakan tegas mesti dan wajib diambil. Kalau ada rakan-rakan yang mempunyai amanah, tidak bersedia, beritahu saya. Kita tukar mereka dan ambil orang yang berprinsip tegas,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas itu bukan untuk menjadi popular atau untuk menarik minat rakyat semata-mata, sebaliknya ia adalah untuk menyelamatkan negara.
“Kita ada pengalaman, bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum. Mulanya kecil, kali ini mungkin bendera, dulu mungkin siaran dan berita-berita palsu. Jangan diizinkan dan mana boleh (perkara ini dibenarkan berlaku),” katanya.
Anwar sekali lagi menegaskan kerajaan pimpinannya akan terus menjamin keselamatan rakyat tanpa mengira kaum atau agama selain tidak akan sesekali bertolak ansur dalam soal keganasan.
Justeru, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan selain tidak membuat andaian tanpa fakta kukuh yang menghukum.
“Serahkan kepada kebijaksanaan badan penguat kuasa, ini belum apa-apa sudah menuding, (konon) anak individu kenamaan ini atau orang ini.
“Kita siapa? Tutup sahaja pejabat-pejabat polis, kalau dah semua keputusan kita boleh buat, tanpa siasat. Jadi harus ada siasatan segera dan adil, jangan pakai hukum sembrono,” katanya.-BH Online