Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Penjawat awam yang mengambil inisiatif untuk melanjutkan pelajaran atas perbelanjaan sendiri akan menerima insentif kewangan berjumlah lebih RM75 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, insentif untuk penjawat awam dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana itu akan memberi manfaat kepada lebih 91,000 penjawat awam dengan mereka yang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) akan menerima RM1,250.

Ia diikuti RM1,000 untuk peringkat sarjana dan RM750 untuk peringkat ijazah sarjana muda, manakala bagi peringkat diploma atau setaraf sebanyak RM500.

Insentif kewangan dirujuk sebagai Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) itu diperuntukkan kepada penjawat awam yang memulakan dan menamatkan pengajian dengan kelayakan akademik lebih tinggi yang diiktiraf semasa dalam perkhidmatan serta menggunakan perbelanjaan sendiri.

“Yang ambil inisiatif belajar sendiri, bayangkan belajar sendiri, elaun untuk isteri dikurangkan kerana nak bayar yuran pengajian, jadi kita bagilah sedikit tanda penghargaan walaupun bajet itu melibatkan RM75.7 juta.

“Ia akan beri manfaat kepada 91,672 pegawai awam. Sekali dalam sepanjang perkhidmatan, tunjuk kita galakkan pegawai awam tingkatkan keupayaan mereka atas ikhtiar dan inisiatif sendiri.

“Bagi sarjana kedoktoran falsafah (PhD) sebanyak RM1,250, sarjana RM1,000, sarjana muda RM750, manakala diploma atau setaraf RM500,” kata Anwar pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.-BH Online