Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAWAU: Hospital Tawau di sini, muncul sebagai pusat rujukan utama bagi pesakit jantung di Pantai Timur Sabah apabila Kementerian Kesihatan memperkenalkan perkhidmatan Invasive Cardiac Laboratory (ICL).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif baharu itu adalah penambahbaikan kepada sistem rujukan sedia ada memandangkan sebelum ini tiada perkhidmatan kardiologi di sini.

Beliau berkata, ICL berfungsi menyediakan rawatan jantung termasuk angiogram, angioplasti dan prosedur berkaitan, sekali gus mengurangkan masa menunggu pesakit.

“Kita telah mengenal pasti lokasi, ekosistem, infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan di sini.

“Insya-Allah, operasi akan dapat dimulakan dalam tempoh terdekat,” katanya selepas meninjau Makmal Kardiak Invasif dan merasmikan Inisiatif Pharmacy Park & Take, di Hospital Tawau di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata perkhidmatan itu mensasarkan ‘door-to-ECG’ kurang 10 minit, iaitu masa dari pesakit tiba di hospital sehingga ujian `electrocardiogram’ (ECG) bagi mengesan serangan jantung dan menentukan rawatan segera.

Selain itu, katanya, sasaran ‘door-to-balloon’ ialah kurang 90 minit, iaitu tempoh dari pesakit tiba di hospital hingga prosedur angioplasti dengan belon dilakukan untuk membuka saluran darah tersumbat, selaras standard antarabangsa yang menekankan setiap kelewatan boleh meningkatkan risiko kematian.

“Ini satu perkhidmatan kardiologi yang sangat baik, sangat pantas, yang dinanti-nantikan oleh warga Sabah khususnya di Wilayah Pantai Timur ini.null

“Kita mahu memastikan pesakit jantung di Pantai Timur Sabah menerima rawatan segera dan efektif tanpa perlu dirujuk ke hospital di luar kawasan,” katanya.

Pada sesi perbahasan di Parlimen Isnin lalu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, menggesa tindakan segera KKM susulan situasi kritikal sektor kesihatan di Sabah, khususnya kekurangan tenaga pakar. 

Beliau memberi contoh hanya dua pakar kardiologi bertugas di hospital seluruh negeri untuk menampung keperluan lebih empat juta penduduk.

Situasi itu dakwanya menyebabkan ada pesakit yang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan pakar jantung sehingga meninggal dunia sebelum sempat dirawat.-BH Online