Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Langkah Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengurangkan pekerjanya secara berperingkat dibuat atas pelbagai faktor, antaranya pertindihan skop tugas berikutan peralihan kepada teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, pekerja yang terkesan ini tidak diabaikan, sebaliknya ada pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan kebajikan mereka dan keluarga.

“Saya tak kata ini (penamatan perkhidmatan pekerja) satu perkara ringan, kita prihatin. Saya sendiri berbincang dengan Presiden (PETRONAS) Tengku Tan Sri Muhammad Taufik berulang kali bagi tangani masalah ini.

“Soalnya PETRONAS masih mencatat keuntungan. Jadi oleh itu, mengapa dan apa kemunasabahannya untuk membuang pekerja-pekerja ini atau untuk menghentikan?

“Alasannya ialah pertama, soalnya peralihan dari segi keberkesanan kerana menggunakan teknologi baru termasuk digitalisasi, AI. Ada pertindihan pekerja,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu faktor menyebabkan PETRONAS mengambil langkah mengurangkan pekerja.

Perdana Menteri turut menegaskan, pengurangan pekerja bukan hanya dilakukan PETRONAS, tetapi banyak syarikat gergasi lain. 

“British Petroleum mengumumkan umpamanya pembuangan 6,200 pekerja menjelang akhir 2025. Chevron, 8,000 hingga 9,000 yang diumumkan pada Februari tahun ini.

“Jadi bukan sesuatu yang masing dan ini termasuk semua syarikat-syarikat yang disebut Exxon Mobil, Shell, Aquino, Conoco Phillips, NSB,” katanya.-BH Online