PUTRAJAYA: Mana-mana lelaki Muslim termasuk yang terbabit dalam bidang fesyen perlu menghentikan perilaku yang bertentangan dengan ajaran dan nilai agama.
Saranan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar sambil menjelaskan ia berikutan fungsi seseorang lelaki dalam Islam adalah sebagai pemimpin (qawwam).
Selain itu, beliau berkata, hadis nabi juga ada menyebut sesiapa yang menyerupai mana-mana bangsa, dia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada bangsa itu.
Katanya, teguran membabitkan tindakan segelintir lelaki beragama Islam berpakaian wanita juga pernah disuarakan pihak berkuasa agama sebelum ini.
“Kita nak menerapkan nilai ini yang ada dalam al-Quran dalam kalangan lelaki-lelaki di Malaysia ini.
“Kalau pendekatan yang dibawa dalam fesyen ini cuba nak bawa menyerupai wanita contohnya dan sebagainya dengan linggang-lingguknya yang keperempunan macam itu, bagaimana kita nak bawa nilai qawwam tadi tu?
“Kita tekankan semula, untuk mereka yang terlibat dalam urusan ataupun perkara yang cuba untuk meniru walaupun dia seorang lelaki cuba nak meniru itu…untuk tidak meneruskan cara yang sama, sebab ini sudah tentu bertentangan dengan nilai agama itu sendiri,” katanya selepas merasmikan Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HiSDAM) 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perasaan tidak senang orang awam termasuk pengguna media sosial terhadap tindakan sekumpulan lelaki mengenakan pakaian seperti wanita termasuk gaun, aksesori dan penampilan yang mencolok mata pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025, baru-baru ini.
Tindakan sesetengah lelaki berpakaian seperti wanita ketika menghadiri program berkenaan dikatakan menjadi bualan ramai dalam media sosial sehingga dipetik sebuah portal.
Malah ada antara pengguna media sosial yang dipetik turut menggunakan jolokan KL Fondan Week untuk acara fesyen berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mempunyai garis panduan jelas untuk penganjur atau mana-mana pihak yang mahu berkarya dan berharap ia dapat dipatuhi pada masa depan.
Pada masa sama, beliau berkata, agensi agama seperti JAKIM juga sentiasa berbincang dengan kementerian lain termasuk Kementerian Komunikasi supaya garis panduan itu dapat dipatuhi kerana ia bertujuan memastikan umat Islam tidak tersasar daripada ajaran agama.-BH Online