KLANG: Selangor akan memantau sekolah-sekolah kelolaan kerajaan negeri bagi mengelak berlakunya kejadian buli.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang kegiatan buli yang mana ia harus di banteras dengan sebaik mungkin.
Beliau berkata, beberapa kes terutamanya membabitkan arwah Zara Qairina Mahathir yang mendapat perhatian ramai adalah peringatan besar kepada semua terutamanya pendidik dan juga anak-anak (pelajar).
“Saya nak lihat sekolah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dikelola sepenuhnya oleh negeri supaya hal ini dapat kita elakkan daripada berlaku (buli) kerana ia memberikan kesan yang serius.
“Saya akan ambil tindakan sekeras mungkin untuk mengelak (daripada berlaku) berikutan ia melibatkan banyak kesan secara psikologi, fizikal sampai ada kecederaan mahupun kematian.
“Secara keseluruhan kita kena berganding bahu untuk menyelesaikan dan mengangkat isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, di peringkat sekolah kebangsaan atau sekolah menengah, kerajaan negeri akan memberi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika ada keperluan.
“Saya akan melihat dulu sekolah bawah JAIS, selebihnya (sekolah bawah KPM) kita akan cuba hubungi JPN sebab mereka ada kuasa seterusnya di bawah Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.
Terdahulu, Amirudin menyerahkan keseluruhan RM26.624 juta bagi enam kategori sekolah iaitu Sekolah Agama Rakyat; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina; Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan; Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan serta Sekolah Menengah Persendirian Cina.
Sebanyak 873 sekolah layak menerima bantuan berkenaan berbanding 825 buah pada tahun lalu.-BH Online