Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kos pembaikan jalan akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) setakat Januari tahun ini mencecah RM101.57 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jumlah itu merangkumi pembaikan jalan di Semenanjung sebanyak RM45.37 juta, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak RM56.2 juta.

“Gelombang pertama MTL pada Disember tahun lalu mencatatkan kos pembaikan keseluruhan berjumlah RM312.1 juta yang membabitkan RM247 juta bagi jalan Persekutuan, RM40.3 juta untuk cerun jalan Persekutuan dan RM24.8 juta (jalan negeri).

“Oleh itu, kos semasa pembaikan jalan yang ditanggung kerajaan adalah dalam lingkungan RM100 juta hingga lebih RM300 juta, bergantung kepada skala bencana dan tahap kerosakan yang dinilai,” katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kewajaran untuk kerajaan mewajibkan kontraktor menggunakan bahan binaan jalan raya yang lebih berdaya tahan terhadap kesan cuaca, Nanta Linggi, berkata pada ketika ini, tiada dasar rasmi yang mewajibkan penggunaan bahan binaan baharu lebih tahan cuaca. 

“Pada ketika ini, tiada dasar rasmi yang mewajibkan penggunaan bahan binaan baru yang lebih tahan cuaca. 

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa menilai dan mengadaptasi bahan serta teknologi baharu berdasarkan kesesuaian iklim dan teknikal negara ini,” katanya.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) memiliki sistem Road Material Approved List (RMAL), yang mana pendaftaran produk dan bahan baharu adalah secara sukarela.

“Ini menunjukkan tidak ada keperluan wajib, tetapi bahan baharu perlu menjalani proses penilaian dan kelulusan sebelum digunakan.

“Ia bagi memastikan standard dan keselamatan dipenuhi termasuk juga kesesuaian dengan iklim Malaysia,” katanya.-BH Online