KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab digital dan pengkomputeran awan bertaraf global menjelang 2030 melalui pelancaran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata NCCP menjadi dokumen panduan strategik negara untuk menggerakkan ekosistem digital berdaulat, selamat, inklusif dan mampan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dalam ekonomi digital rantau ini.
Katanya, NCCP secara langsung menyokong objektif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, bukan sekadar menetapkan hala tuju, malah membuka potensi ekonomi sebenar.
“Kajian terkini oleh Asian Development Bank Institute dan AWS mengunjurkan bahawa peningkatan penggunaan pengkomputeran awan hanya sebanyak satu peratus mampu menyumbang sehingga RM10.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Angka ini bukan sekadar nombor, ia mewakili peluang pekerjaan baharu, peluang yang lebih besar, serta ketahanan ekonomi yang meningkat untuk negara kita.
“Melangkah ke hadapan, dengan mempercepatkan strategi pengkomputeran awan dari 2024 hingga 2028, kita berpotensi membuka nilai ekonomi tambahan yang mencecah RM110 bilion,” pcdi sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, NCCP memacu pelaburan dalam teknologi awan, memperkukuh daya saing perniagaan tempatan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk inovasi berkembang.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif awan di Malaysia sebelum ini bersifat silo, mewujudkan risiko ketinggalan dalam arus ekonomi digital global yang berkembang pesat.
“NCCP mengatasi kelemahan itu dengan mengamalkan pendekatan ‘whole-of-nation’ yang menggabungkan agensi kerajaan, sektor swasta, penyedia perkhidmatan awan, ahli akademik dan masyarakat.
“NCCP akan diselaraskan dengan dasar digital sedia ada termasuk MyDIGITAL, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi memastikan Malaysia berada di landasan tepat menarik pelaburan asing bernilai tinggi,” katanya.
Beliau menambah, lima tonggak utama NCCP iaitu transformasi sektor awam, pertumbuhan sektor swasta, keselamatan data, keterangkuman digital dan kelestarian alam sekitar adalah formula lengkap untuk mewujudkan ekosistem digital yang kompetitif di peringkat global.
Selain memacu pertumbuhan ekonomi, katanya, dasar itu turut memberi limpahan manfaat kepada rakyat, daripada peningkatan akses teknologi setara hingga penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“NCCP bukan sahaja agenda teknologi, ia adalah agenda ekonomi negara. Pelaburan dalam pusat data hijau, infrastruktur awan dan keselamatan siber akan memperkukuh kedaulatan digital kita serta merangsang pertumbuhan KDNK.
“Justeru, Kementerian Digital menyeru semua pihak berganding bahu melaksanakan NCCP secara bersepadu bagi memastikan Malaysia mampu mengekalkan momentum sebagai pemain utama dalam ekonomi digital global,” katanya.-BH Online