Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan penubuhan Pusat Penyelarasan Kemahiran ASEAN (ASEAN Skills Clearing House), yang berperanan sebagai pihak berkuasa untuk memberikan pengiktirafan rentas sempadan kepada standard kemahiran oleh negara anggota ASEAN.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata usaha awal yang boleh dilakukan bagi merealisasikan inisiatif itu adalah melalui pengukuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN sedia ada supaya dapat memainkan peranan lebih besar.

“Bagi merealisasikan sepenuhnya potensi ASEAN, kita mesti bergerak ke arah sinergi yang lebih tinggi dalam kerangka pensijilan bersama yang sudah lama tertangguh.

“Jika kemahiran adalah kunci utama Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), demi memastikan kemajuan lebih besar dalam pasaran kemahiran ASEAN, kita mesti berusaha lebih gigih ke arah pengiktirafan bersama.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk mewujudkan sebuah Pusat Penyelarasan Kemahiran ASEAN bagi membolehkan pengiktirafan rentas sempadan terhadap piawaian kemahiran kebangsaan dilaksanakan,” katanya berucap pada Persidangan TVET ASEAN dengan tema “Memajukan Transformasi Digital dan Hijau Melalui Sistem TVET Inklusif dan Bersedia Untuk Masa Depan” di sini, hari ini. 

Program dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Steven berkata, negara ASEAN juga perlu membuktikan komitmennya melalui tindakan, dengan membuat pelaburan dalam pendidikan kemahiran.

Katanya, Malaysia membelanjakan kira-kira RM10 bilion setahun untuk TVET dan pendidikan kemahiran.

Dua bulan lalu, selaras semangat perkongsian sumber dan sempena Tahun Kemahiran ASEAN 2025, Malaysia, buat kali pertama membuka Minggu Latihan Kebangsaan kepada warga ASEAN di luar sempadan negara, dengan penyertaan seramai 3.5 juta orang, 10 kali ganda lebih ramai berbanding tahun lalu dan menawarkan lebih 72,000 kursus latihan percuma bernilai RM400 juta kepada rakyat Malaysia serta warga ASEAN.

“Ini bukti komitmen Malaysia meningkatkan kemahiran rakyat negara ini dan jiran serantau.

“Setiap negara anggota mempunyai kekuatan dan kepakaran teras masing-masing serta kepentingan nasional, namun apa yang menghalang kita daripada menjalin kerjasama lebih mendalam dengan menggabungkan sumber daya kita secara kolektif” katanya.

Persidangan TVET ASEAN yang berlangsung dua hari bermula hari ini, menghimpunkan pemegang taruh, termasuk penggubal dasar, penyedia pendidikan dan latihan, industri, pekerja, organisasi masyarakat sivil dan rakan kongsi pembangunan dari seluruh rantau ini. 

Ia juga kesinambungan usaha mengukuhkan sistem TVET nasional ke arah mempercepat peralihan digital dan hijau rantau ASEAN, selain menyokong Pelan Kerja Majlis TVET ASEAN, dengan memajukan kerjasama serantau bagi meningkatkan tindak balas latihan kemahiran kepada keperluan pasaran buruh dan memupuk mobiliti serta pengiktirafan bersama kemahiran di seluruh ASEAN.-BH Online