KUALA LUMPUR: Pekerja asing di Malaysia berhak mendapat perlindungan di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara, termasuk larangan majikan menyimpan pasport pekerja, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu, berkata bagaimanapun majikan perlu adil kepada pekerja dan memulangkan semula pasport mereka selaras dengan undang-undang yang dikuatkuasakan.
“Majikan tidak boleh menyimpan pasport dan perlu bersikap adil kepada pekerja dan memulangkan semula pasport mereka.
“Namun, masih terdapat ramai majikan yang beralasan faktor keselamatan untuk memegang pasport pekerja, sedangkan tindakan itu adalah satu kesalahan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pra-Peluncuran Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Malaysia (NAPBHR) 2025-2023, di sini hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini, terdapat beberapa aduan yang diterima daripada pekerja asing dan sebahagian daripada mereka mampu menguruskan hal sendiri kerana memahami hak yang dimiliki serta membuat aduan terus kepada kedutaan masing-masing.
“Malaysia tidak seperti di sesetengah negara yang memberi layanan tidak hormat sepenuhnya kepada warga asing. Kita ada undang-undang kita sendiri dan kita mesti menghormati setiap insan.
“Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini tidak boleh mendapat publisiti buruk akibat layanan kasar atau bersifat ganas terhadap pekerja asing dari negara-negara ASEAN,” katanya.-BH Online