Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang mempertimbangkan dan menyemak semula cadangan menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB).

Menterinya, Anthony Loke mengakui beliau pernah mencadangkan penubuhan MTSB ketika memegang jawatan menteri enam tahun lalu, namun rancangan itu tidak diteruskan selepas beliau tidak lagi menerajui kementerian selama 22 bulan.

“Memang sekarang ini saya lihat balik dan kita sedang merangka dasar untuk penubuhan MTSB ini dan sedang dipertimbangkan di peringkat kementerian tetapi untuk menubuhkan satu badan baharu dan agensi baharu bukannya mudah. 

“Ada juga rakan-rakan sana yang pernah menjadi menteri, dia tahu ada banyak proses… panjang. Yang pertama kita kena buat kertas jemaah menteri, memorandum jemaah menteri untuk bawa balik kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan dasar.

“Kelulusan dasar itu perlu sokongan daripada pelbagai pihak kerana hendak menubuhkan satu MTSB sudah tentu ada satu birokrasi yang baharu, satu agensi baharu, ada perjawatan baharu, implikasi kewangan, perjawatan, implikasi sumber manusia dan sebagainya,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai perkembangan cadangan penubuhan semula MTSB serta perincian garis masa.

Mengulas lanjut, Loke berkata, satu jawatankuasa kerja akan ditubuhkan untuk melihat setiap perinciannya selepepas mendapat kelulusan dasar di peringkat Kabinet.

“Baru kita boleh draf rang undang-undang dan perlu bawa ke Parlimen untuk diluluskan supaya penubuhan MTSB itu dapat diluluskan mengikut peraturan undang-undang.

“Jadi itu proses dia dan memang kita akan cuba untuk usahakan dan saya mengalu-alukan peranan yang dimainkan Yang Berhormat (Jerantut) dalam pasukan petugas khas itu supaya mainkanlah peranan, desak lebih tegas supaya sama-sama kita ada tekanan untuk kita jamin keselamatan jalan raya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada kerajaan akan mewajibkan setiap kenderaan berat termasuk bas kilang, persiaran dan lori mewajibkan dua pemandu yang mempunyai kelayakan memandu, Loke berkata, kerajaan mengakui cadangan itu satu langkah baik untuk keselamatan, namun berdepan kekangan kekurangan pemandu berkelayakan di pasaran.

“Memang dalam beberapa kategori bas seperti bas persiaran dan bas ekspres, apabila mereka melebihi sesuatu jaraklebih 300 kilometer memang diwajibkan dua pemandu, namun kita menghadapi satu masalah praktikal dalam pasaran bahawa pemandu bas dan pemandu lori ini agak berkurangan kerana bukan ramai yang berminat.

“Malah, kita sudah mengadakan pelbagai kempen sekarang ini termasuk memberikan latihan percuma dan mendapatkan lesen E secara percuma ini sedang dilaksanakan pihak kementerian untuk cuba mendapat lebih banyak output pemandu ini,” katanya.-BH Online