Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menempa sejarah baharu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) melalui penciptaan model bahasa besar (LLM) pertama negara, ILMU yang dibangunkan dan dikendalikan sepenuhnya di Malaysia.

ILMU yang bermaksud Intelek Luhur Malaysia Untukmu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Dibangunkan YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya (UM), ILMU menggabungkan kecerdasan dan bahasa tempatan, dengan prestasi bertaraf dunia, menandakan satu lonjakan besar dalam aspirasi AI negara.

YTL AI Labs memaklumkan, ILMU mempunyai beberapa ciri yang berbeza dengan LLM lain, antaranya teknologi itu selaras dengan budaya Malaysia, iaitu fasih dalam bahasa Melayu, ‘Manglish’ (bahasa Melayu dan Inggeris) dan dialek tempatan, seperti Kelantan.

ILMU memahami cara rakyat Malaysia bercakap, berinteraksi dan bertanya, sekali gus membantu merapatkan jurang digital.

“ILMU dibangunkan dengan mengambil kira kepentingan negara, keselamatan dan tadbir urus data, membolehkan penggunaan AI yang dipercayai merentas pelbagai sektor.

“Ia dibina di atas infrastruktur nasional, dihoskan di YTL AI Cloud, memberikan prestasi bertaraf perusahaan, kebolehskalaan dan pengekalan data tempatan.

“ILMU mempunyai prestasi bertaraf global, setanding dengan model global terkemuka seperti GPT-4, DeepSeek dan Llama,” katanya dalam kenyataan hari ini.null

YTL AI Labs berkata, ILMU mencapai skor tertinggi dalam kalangan semua model termaju dalam pemahaman bahasa Melayu, menunjukkan prestasi lebih unggul berbanding Llama 3.1 dalam tugasan dunia sebenar dan setanding dengan GPT-4o dalam tugasan mengikuti arahan kompleks.

Katanya, ILMUchat (Chatbot AI) untuk pengguna akan tersedia untuk diakses pada 16 September ini, sempena Hari Malaysia dan orang ramai dialu-alukan untuk mendaftar di: https://www.ilmu.ai/.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Gobind Singh Deo, berkata ILMU membuktikan keupayaan Malaysia untuk membina infrastruktur AI bertaraf dunia dan pada masa sama, memelihara identiti bahasa dan budaya tempatan.

“Ini lebih daripada sekadar teknologi, ia adalah satu langkah ke arah memperkasa rakyat, perniagaan dan negara kita dalam era digital,” katanya.

Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, berkata ILMU mewakili komitmen YTL terhadap inovasi yang berakar kepada warisan budaya dan intelektual Malaysia yang pelbagai. 

Dengan pelancaran model AI canggih itu katanya, syarikat itu berhasrat untuk memperkasa setiap rakyat Malaysia dengan pengetahuan yang boleh diakses, boleh dipercayai dan relevan dengan budaya tempatan.

“ILMU bukan sekadar satu lonjakan teknologi tetapi satu keupayaan nasional yang mampu memacu sistem yang lebih bijak, meningkatkan produktiviti dan menghasilkan kemajuan yang merangkumi semua, kerajaan, perniagaan dan yang paling penting, rakyat,” katanya.-BH Online