Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital merancang untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) khusus bagi mengawal selia pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Dewan Rakyat pada pertengahan tahun depan.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata tiga komponen utama sedang dimuktamadkan, iaitu penetapan standard teknikal dan piawaian, penggubalan peraturan di bawah kerangka perundangan, serta undang-undang khusus untuk menangani aspek tertentu berkaitan AI.

“Prosesnya membabitkan libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk kementerian, agensi dan pemain industri. Saya harap pada pertengahan tahun depan, kita akan lihat perkembangan ketara dari segi tadbir urus AI,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Gobind, draf awal rangka kerja tadbir urus AI disediakan oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan kini melalui proses semakan bagi memastikan aspek risiko, etika, piawaian serta peraturan perundangan diberi perhatian sewajarnya.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berulang kali menekankan keperluan memberi fokus kepada risiko yang dibawa teknologi baharu seperti AI. Kita mesti menggubal polisi yang merangkumi etika, undang-undang, standard dan kawal selia,” katanya.

Gobind berkata, pihaknya mahu memastikan undang-undang AI yang bakal diperkenalkan mengambil kira pandangan industri, selain menetapkan piawaian dan peraturan yang jelas sebelum dibawa ke Parlimen.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk merapatkan jurang dalam penggunaan AI, hasil langkah kerajaan sejak 18 bulan lalu termasuk menarik pelaburan pusat data berskala besar dan menubuhkan Kementerian Digital.

Menurutnya, penubuhan kementerian itu membolehkan kerajaan membina struktur jelas bagi memahami, merancang dan memanfaatkan AI secara menyeluruh, termasuk kesannya kepada masyarakat, industri dan pentadbiran negara.

“Aspek keselamatan turut diberi perhatian melalui kelulusan Akta Keselamatan Siber dan pengukuhan undang-undang perlindungan data peribadi, manakala pembangunan bakat tempatan menjadi fokus utama.

“Infrastruktur yang canggih tidak mencukupi tanpa bakat tempatan yang mampu menguasai dan menggunakan teknologi baharu ini untuk memperkukuh diri dan ekonomi mereka. 

“Kerjasama sedang dijalankan dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memperkukuh ekosistem bakat AI,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan utamanya, Gobind berkata, Malaysia menegaskan komitmen untuk memacu pembangunan teknologi AI di peringkat serantau, dengan memastikan tiada negara ASEAN ketinggalan dalam arus transformasi digital yang semakin pesat.

Beliau berkata usaha itu perlu dilakukan secara kolektif dengan mengutamakan prinsip keterangkuman, kebertanggungjawaban dan kepercayaan bersama bagi membentuk masa depan AI yang mencerminkan nilai serantau.

“AI bukan sekadar alat, tetapi kuasa yang akan mentakrif semula tadbir urus, mengubah industri, membentuk semula pendidikan dan menyentuh setiap aspek kehidupan. 

“Cabaran ini terlalu kompleks untuk ditangani oleh satu negara sahaja, justeru memerlukan semangat kerjasama ASEAN,” katanya.-BH Online