KUALA LUMPUR: Memohon peruntukan yang lebih dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan infrastruktur jalan di seluruh negara sentiasa dalam keadaan baik menjadi teras utama Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata berdasarkan kajian yang dijalankan juga, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik dengan Jeli paling memerlukan peruntukan yang lebih untuk memastikan jalan berkenaan sentiasa dalam keadaan baik.
Katanya, ini bermakna setiap tahun KKR memerlukan peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diberikan tidak mencukupi.
“Setiap tahun di dalam Belanjawan perkara ini memang sentiasa ditegaskan kerana KKR memang berharap peruntukan baiki dan selenggara jalan persekutuan seluruh negara diberi perhatian serius.
“Ini termasuk memberi peruntukan lebih supaya dapat tingkat usaha pulih keadaan jalan rosak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Sesi Dialog Belanjawan 2026 bersama Penggiat Industri Pembinaan di KKR di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.
Mengulas mengenai sesi dialog selama dua jam itu, Nanta Linggi berkata, pihaknya turut menerima pelbagai pandangan, teguran dan cabaran.
Katanya, ia termasuk cabaran kos pembinaan yang semakin meningkat dan akan kemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.
Justeru beliau berkata, KKR komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur negara terus diperkasakan selaras aspirasi kerajaan dan keperluan rakyat.
“Input daripada pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan Belanjawan 2026 dapat menangani cabaran dan memacu pertumbuhan sektor pembinaan ke arah lebih lestari dan berdaya saing,” katanya yang dijangka bertemu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 22 Ogos ini.
Sementara itu, apabila ditanya berkenaan kelewatan pembukaan Seksyen 3 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE), beliau berkata kelewatan itu susulan masalah pengambilan tanah.
Beliau turut difahamkan, setakat ini mereka yang terbabit sudah menerima bayaran seperti ditetapkan sebelum ini.
“Bagaimanapun, masalah ini sudah ditangani oleh kerajaan negeri kerana tanah yang terbabit itu di bawah kerajaan negeri,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, syarikat konsesi West Coast Expressway Sdn Bhd komited menyelesaikan isu akses tanah di Seksyen 3 berhampiran Taman Sentosa, Klang yang sebelum ini menghalang penyambungan projek.
Pertikaian berhubung pengosongan tanah membabitkan kira-kira 300 meter jajaran itu berlaku walaupun pampasan penuh sudah dibayar kepada pemilik tanah terbabit pada September 2023.-BH Online