PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Bakar menegur penjawat awam kerana menggunakan laras bahasa tinggi bagi memperjelas sesuatu isu dan dasar kerajaan sehingga gagal difahami golongan sasar.
Beliau memberi contoh penjelasan mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak dilakukan dengan baik sehingga membentuk jurang komunikasi.
Sehubungan itu, beliau mahu penjawat awam memperbaiki kaedah komunikasi supaya masyarakat terutama golongan bawahan dapat memahami penjelasan di sebalik isu yang timbul.
“Dalam kita menangani isu komunikasi antara kumpulan tinggi, sederhana dan bawah, komunikasi jelas perlu diamalkan dalam perkhidmatan awam. Dalam mesyuarat saya tegur supaya guna bahasa difahami dan jangan guna ‘bahasa Putrajaya’.
“Apa yang kita nak cakap dan nak sampaikan perlu bersesuaian (contohnya) kepada pemandu Grab. Saya nak tegur kementerian mengenai SST, kita jelaskan (isu SST) untuk profesor dengar, pegawai tinggi kerajaan atau orang yang ambil (atau ada) latar belakang kewangan.
“Tapi 85 peratus (rakyat) yang dekat luar itu (sebenarnya) nak dengar penjelasan mereka, nak bahasa orang biasa,” katanya
Beliau berkata demikian pada sesi khas bertajuk Reformasi Satu Kemestian sempena setahun reformasi perkhidmatan awam di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapura di sini hari ini.
Selain dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan pegawai atasan lain, majlis itu dihadiri hampir 1,000 penjawat awam.
Pada majlis sama, Shamsul Azri turut melancarkan Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Tahun 2025.
Dalam menangani isu jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat, Shamsul Azri mengarahkan semua unit komunikasi korporat memperbaiki kaedah komunikasi.
“Saya sudah arah kepada semua jaga unit komunikasi korporat. Yang jaga perkara itu kena pastikan kita bercakap bahasa yang orang bawah faham, baru kita dapat kurangkan jurang komunikasi.
“Ini kerana banyak berlaku kelompongan sebab jurang komunikasi antara golongan muda, separa tua dan tua. Jadi kita kena tambah baik komunikasi,” katanya.-BH Online