Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) akan terus berkuat kuasa sebagaimana peruntukan undang-undang sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, PETRONAS diletakhakkan dengan pemunyaan mengenai petroleum, serta hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau luar pantai Malaysia, seperti yang diperuntukkan dalam Akta 144.

Beliau berkata demikian dalam Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan melalui portal Dewan Rakyat, semalam.

Azalina menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta penjelasan bagaimana Kerajaan Persekutuan akan mempertahankan Akta 144 sebagai teras kedaulatan ekonomi negara dalam industri minyak dan gas berhubung isu tuntutan Kerajaan Sarawak dan Petros yang mencabar serta mempertikaikan kedudukan PETRONAS bawah akta itu.

Dalam pada itu, Azalina berkata, PETRONAS telah memeterai dua perjanjian utama bagi memperkukuhkan kerjasama dengan negeri-negeri pengeluar berkenaan.

Pemeteraian itu membabitkan Perjanjian Kolaborasi Komersial dengan Kerajaan Sabah, serta Perjanjian Penyelesaian Komersial dengan Kerajaan Sarawak.

Beliau berkata, kedua-dua perjanjian itu menggariskan kerangka kerjasama komersial antara PETRONAS dengan syarikat milik kerajaan negeri seperti SMJ Energy dan Sabah Energy Corporation di Sabah, serta Petros di Sarawak.

“Landskap industri minyak dan gas serta dasar kerajaan negeri masing-masing telah menghasilkan perbezaan struktur kerjasama dari segi pemilikan, pendapatan dan pengagihan keuntungan,” katanya menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud).

Isnaraissah Munirah bertanya mengenai perbezaan dari sudut pemilikan, pendapatan serta pengagihan keuntungan kepada PETRONAS-SMJ Energy dan PETRONAS-Petros, dan sama ada melalui persefahaman atau perjanjian antara pihak-pihak berkenaan.

Azalina berkata, faktor utama yang mempengaruhi perbezaan struktur kerjasama itu termasuklah tahap penyertaan ekuiti oleh SMJ Energy dan Petros dalam projek sektor huluan dan hiliran, serta struktur kerjasama strategik yang dibentuk antara PETRONAS dengan entiti negeri berkenaan.

Walaupun pendekatan kerjasama PETRONAS dengan Sabah dan Sarawak adalah berlandaskan prinsip keterangkuman serta perkongsian nilai bersama, katanya, pelaksanaan dan hasilnya mungkin berbeza dengan bergantung pada landskap industri minyak dan gas.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) pula, Azalina berkata, Sabah telah diberikan ruang penyertaan yang lebih menyeluruh dalam rantaian nilai industri minyak dan gas, termasuk melalui pembabitan aktif syarikat milik kerajaan negeri seperti SMJ Energy melalui Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA).

Katanya, kerjasama strategik antara PETRONAS dengan Kerajaan Sabah telah diperkukuhkan dengan pemeteraian CCA pada 7 Disember 2021.

Hingga suku pertama 2025, beliau berkata, sebanyak 326 syarikat berpangkalan di Sabah telah dilesen dan didaftarkan sebagai vendor PETRONAS.

“Lanjutan pemeteraian CCA pada 2021, nilai kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat ini telah meningkat daripada RM613 juta kepada RM2 bilion, setakat 2024 – iaitu peningkatan sebanyak 3.3 kali ganda,” katanya.

Jeffrey meminta penjelasan mengenai bila kerajaan dan PETRONAS akan melaksanakan persetujuan serta perjanjian dengan Kerajaan Sabah berhubung pengembalian hak minyak dan gas Sabah serta perkongsian hasilnya.

Azalina berkata, PETRONAS kekal komited memperkukuhkan penyertaan Sabah secara progresif serta berstruktur, berasaskan prinsip kebolehlaksanaan teknikal dan terma komersial yang mampan.

“Perkembangan secara menyeluruh ini mencerminkan peningkatan penyertaan serta manfaat komersial yang dinikmati oleh Sabah dalam industri minyak dan gas negara, sejajar dengan kerangka kerjasama yang telah dipersetujui melalui CCA,” katanya.-BH Online