KUALA LUMPUR: Malaysia menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM13.29 bilion bagi sektor kecerdasan buatan (AI) di bawah inisiatif Malaysia Digital bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pelaburan itu juga berpotensi mewujudkan kira-kira 6,920 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi Malaysia sebagai hab AI serantau, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam ekosistem digital global.
“Sumbangan AI dan teknologi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 adalah 23.5 peratus dan kerajaan menyasarkan peningkatannya kepada 25.5 peratus menjelang akhir 2025.
“Saya yakin sasaran ini boleh dicapai berdasarkan perkembangan positif dalam pelaburan, pembangunan bakat serta pelaksanaan pelbagai kes penggunaan AI merentasi sektor,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai kemajuan dicapai NAIO dan apakah sumbangan mereka kepada Pembangunan AI serta bagaimana kementerian berkolaborasi dengan kementerian lain untuk memastikan koordinasi yang berkesan dalam pembangunan dan aplikasi AI.
Gobind berkata, kerajaan juga sedang merangka satu pelan tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang berteraskan data, bakat dan infrastruktur dalam usaha membina ekosistem AI yang mampan.
Katanya, draf buku panduan kesiapsiagaan set data AI juga sedang dimuktamadkan bagi menyokong pelaksanaan pelan tindakan berkenaan.
“Sebagai sebahagian usaha memperkukuh peranan Malaysia dalam landskap AI serantau, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dengan kerjasama MyDigital menganjurkan Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025 bermula esok hingga lusa yang bertemakan “Menerajui Pembangunan AI yang Mampan dan Inklusif di ASEAN”.
“Sidang kemuncak ini akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kepimpinan dan kerjasama serantau dalam bidang AI,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai kemajuan dicapai NAIO dan apakah sumbangan mereka kepada Pembangunan AI serta bagaimana kementerian berkolaborasi dengan kementerian lain untuk memastikan koordinasi yang berkesan dalam pembangunan dan aplikasi AI.
Gobind berkata, NAIO turut memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian bagi memacu penggunaan AI merentas sektor.
Katanya, setakat ini sebanyak 55 kes penggunaan sudah dikenal pasti.
“Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk pengangkutan, kesihatan, pertanian dan sumber manusia,” katanya.-BH Online