Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAWAU: Cabaran logistik dan kos pengangkutan yang tinggi bukan halangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan penduduk pedalaman dan pulau di daerah ini menikmati harga barang asas seimbang dengan kawasan bandar.

Bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM202.5 juta di bawah Program Pengedaran Barang Perlu (PBP) di seluruh Sabah yang memberi manfaat kepada 492,566 penduduk termasuk lebih 29,000 di daerah ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata daripada RM202.5 juta peruntukan disalurkan untuk tempoh Mei 2025 hingga April 2027 itu, lebih RM8 juta khusus bagi daerah Tawau.

Katanya, empat zon tumpuan di bawah KPDN Tawau, iaitu Sebatik, Balung, Kalabakan dan Apas, menerima penghantaran bulanan barangan asas berupa beras putih sebanyak 94,605kg, gula (23,888kg), tepung gandum (10,041kg), minyak masak (16,966kg), gas petroleum cecair (LPG) (5,800 tong), petrol RON95 (68,800 liter) dan diesel (77,200 liter).

“Matlamatnya adalah untuk memastikan kawasan pedalaman termasuk pulau dan kawasan sukar diakses melalui jalan raya dapat menikmati barang keperluan harian tanpa ada sebarang kenaikan harga.

“Tanpa program PBP ini, barang keperluan harian seperti beras, tepung, gas memasak dan lain-lain pasti sukar untuk dikawal,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi selepas lawatan ke Point of Sales (POS) di Pantai Manis dan Sungai Tongkang, dekat Pulau Sebatik.

Dalam pada itu, Fuziah berkata pada masa ini terdapat sebanyak 228 kawasan pengedaran di seluruh Sabah membabitkan 607 POS, dengan 40 daripadanya di daerah Tawau.

Katanya, program yang bermula sejak 2009 itu memberi subsidi kepada syarikat pengangkut terpilih bagi mengedarkan barang kawalan dari pusat bekalan ke POS pedalaman dan pulau, sekali gus menjamin kestabilan bekalan.

“Hari ini, kami berkesempatan melawat dua daripada 40 POS yang berada dalam empat zon pengedaran di daerah ini, bagi melihat sendiri cabaran getir untuk mengakses kawasan pedalaman tersebut.

“Kita amat menghargai kesukaran yang dihadapi rakyat dalam mendapatkan barang keperluan ini.

“Alhamdulillah, melalui program ini, kita dapat memastikan bekalan tujuh barangan asas untuk Sabah sampai kepada penduduk walaupun berada di lokasi terpencil,” katanya.

Mengulas lawatannya ke Sungai Tongkang, Fuziah berkata POS tunggal di situ dilengkapi terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membolehkan penduduk menebus peruntukan RM100 menerusi MyKad.

Selain itu katanya, bagi menjamin stok barangan keperluan sentiasa mencukupi, KPDN turut memperuntukkan kuota khas kepada premis terbabit termasuk bekalan LPG sebanyak 110 tong sebulan.

Mengenai isu ketirisan barangan keperluan bersubsidi, Fuziah menjelaskan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

Namun, katanya, pemantauan berterusan sentiasa dijalankan memandangkan Pulau Sebatik terletak berhampiran kawasan sempadan negara.

“KPDN tidak beroperasi secara silo, sebaliknya bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan badan penguat kuasa lain bagi mengekang sebarang ketirisan atau penyelewengan,” katanya.-BH Online