JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang menilai peranan tenaga nuklear sebagai satu daripada pilihan berpotensi untuk penjanaan elektrik yang bersih, stabil dan kompetitif dalam campuran tenaga negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata langkah itu susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 31 Julai lalu.
“Penilaian itu mengambil kira keperluan mempelbagaikan sumber tenaga, mengukuhkan keselamatan tenaga jangka panjang, menyokong sasaran pengurangan pelepasan karbon, dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
“Ia sejajar dengan komitmen perubahan iklim negara serta peningkatan permintaan tenaga yang semakin berkembang.
“MyPOWER Corporation sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) diberi tanggungjawab menyelaras persediaan mengikut panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), membabitkan kementerian, jabatan, dan agensi bagi memastikan pendekatan nasional yang bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan ASEANTOM ke-12, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Mesyuarat Tahunan ASEANTOM ke-12 berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga Jumaat nanti, menghimpunkan ahli ASEANTOM, pemerhati, wakil IAEA selain rakan dialog ASEAN.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berkata Malaysia turut menegaskan komitmennya terhadap Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Beliau turut menggesa negara pemilik senjata nuklear menandatangani dan meratifikasi protokol berkenaan tanpa berlengah.
“Kerjasama melalui ASEANTOM, bukan sekadar teknikal tetapi bersifat strategik untuk memastikan tenaga atom menyumbang kepada pembangunan mampan, kestabilan serantau, dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fadillah turut melancarkan Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) untuk dipasang di perairan negara bagi memperkukuh kemampuan negara memantau tahap radiasi dalam sumber air.
Katanya, teknologi baharu itu membolehkan pengesanan proaktif dan tindakan pantas terhadap sebarang ancaman radiologi, sekali gus melindungi komuniti dan generasi akan datang.-BH Online