KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana koperasi yang membuat promosi pelaburan tanpa kelulusan Suruhanjaya Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Poay Tiong memberitahu wujud koperasi yang menawarkan simpanan dengan pulangan sebanyak 12 peratus.
“Ini sesuatu yang perlu diambil perhatian dan tindakan untuk disiasat. Sebab kalau di bank, kadar faedah untuk simpanan tetap hanya 2.5 peratus.
“Bagaimana koperasi ini boleh tawarkan 12 peratus dan adakah mereka mempunyai lesen untuk menerima simpanan daripada orang awam yang bukan ahli koperasi?,” soalnya.
Mendengar perkara itu, Ewon berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap isu yang dibangkitkan oleh Poay Tiong.
“Sebarang promosi terutama berkaitan pelaburan memerlukan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi.
“Saya ambil ini sebagai satu yang serius dan akan kembali ke kementerian untuk semak perkara yang disebut oleh Yang Berhormat,” katanya.
Terdahulu, beliau turut menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) berhubung rasional utama di sebalik keperluan menggubal Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502] dan bagaimana akta baharu itu akan menangani cabaran serta keperluan semasa gerakan koperasi di Malaysia.
Ewon berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan satu akta yang baharu selepas mengambil kira bahawa Akta Koperasi sedia dibangunkan berdasarkan kerangka perundangan awal gerakan koperasi negara yang diperkenalkan pada tahun 1922, iaitu Enakmen Syarikat Bekerjasama-sama 1922.
Katanya, penyesuaian dasar dan undang-undang diperlukan bagi memastikan sektor koperasi kekal relevan, seiring perkembangan sosioekonomi, kemunculan teknologi baharu dan keperluan tadbir urus yang berakauntabiliti.
“Akta Koperasi baharu akan memastikan undang-undang koperasi kekal responsif, inklusif dan mampu memperkasa koperasi sebagai entiti ekonomi yang mampan serta berdaya saing,” katanya.-BH Online