JOHOR BAHRU: Sebanyak 38,804 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara berjaya didigitalkan menerusi Geran Digital PMKS Madani (GDPM) pada 2024, membabitkan kelulusan berjumlah RM89.6 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata daripada jumlah itu, seramai 2,838 penerima terdiri daripada pengusaha klinik dan farmasi.
Katanya, jumlah itu adalah kira-kira 19 peratus populasi premis di seluruh Malaysia berdasarkan data Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan GDPM dalam membantu PMKS mendigitalkan perkhidmatan mereka.
“Pada tahun ini, kami menumpukan kepada sektor kesihatan dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus klinik dan farmasi swasta menyertai program ini.
“Tahun ini juga, Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta, dan RM30 juta daripadanya diperuntukkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui syarikat telekomunikasi untuk memperkasa PMKS terutamanya dalam sektor kesihatan,” katanya pada sidang media selepas perasmian GDPM Fest 2025 di Permas Jaya di sini, hari ini.
Menurut Nie Ching, usaha ini adalah komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan inisiatif digitalisasi yang menjadi teras dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, dalam sektor kesihatan, contohnya rekod kesihatan digital amat penting kerana memudahkan rakyat untuk mendapatkan khidmat kesihatan walaupun berbeza klinik.
“Kita sasarkan untuk memohon GDPM ini adalah klinik atau farmasi swasta. Jadi, manfaat ini akan dinikmati oleh rakyat kami kerana apabila mereka pergi ke klinik dan farmasi boleh gunakan rekod kesihatan digital.
“Sistem digital ini tidak bertindih dengan MySejahtera, kerana MySejahtera adalah satu aplikasi digunakan untuk buat temu janji di kemudahan kesihatan awam,” katanya.
Mengenai GDPM Fest 2025 anjuran MCMC hari ini, Nie Ching berkata program itu adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan PMKS, khususnya dalam sektor kesihatan, tidak tercicir dalam arus kemajuan teknologi.
Katanya, usaha ini juga adalah angkah ke arah membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan bersedia dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
“GDPM Fest bermula pada 2023, untuk tahun ini selepas Johor kita akan teruskan di Kuantan, Pahang, dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Program ini juga mendapat sokongan rakan strategik termasuk Kementerian Kewangan, Bank Simpanan Nasional, MMA, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Maxis, Digi dan Telekom Malaysia, selain pembekal penyelesaian digital.
“Kami berharap lebih banyak klinik dan farmasi swasta menggunakan penyelesaian digital melalui geran ini bagi menggalakkan transformasi digital,” katanya.-BH Online
