KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian peserta Malaysia pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di ibu negara.
Beliau menerusi hantaran Facebook turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada kesemua 71 peserta tilawah dan 32 peserta hafazan yang mewakili 49 buah negara, terutama sekali kepada semua pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
“Sebagai anak Malaysia, saya amat bersyukur dan bangga dengan pencapaian peserta Malaysia pada Musabaqah edisi tahun ini. Alfu Mubarak buat Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (Johan Kategori Tilawah Lelaki), Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Johan Kategori Tilawah Wanita) dan Putri Auni Khadijah binti Mohd Hanif (Naib Johan Kategori Hafazan Wanita).
“Saya berdoa kehadrat Allah SWT agar risalah al-Quran terus memayungi kita semua dengan hidayah dan petunjuk kebenaran, asbab setiap jiwa terus menekuni dan mentadabbur al-Quran dengan mendalam dan penuh keinsafan. Mendoakan agar kita digolongkan dalam kalangan hamba-hamba Nya yang bertaqwa,” menurut hantaran itu.
Perdana Menteri turut meraikan kehadiran Imam dan Khatib Masjid Nabawi Fadhilatus Syeikh Dr. Solah al-Budair sebagai tetamu istimewa.
Sebelum itu Perdana Menteri tiba dari Kelantan, bagi Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.-Berita RTM