BACHOK: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus berusaha dan berikhtiar untuk mencari kedamaian dan keamanan untuk Selatan Thailand.
Perdana Menteri berkata beliau sudah menghubungi kerajaan Thailand dan pihak berkenaan juga menyatakan kesediaan untuk terus berusaha menghentikan ketegangan dan keganasan di kedua-dua pihak.
“Saya percaya dengan kebijaksanaan pimpinan negara Thailand, kita akan terus cuba berusaha dan tambah ikhtiar untuk mencari kedamaian dan keamanan.
“Ia bagi memastikan kawasan itu boleh dibangunkan dan pengajian Islam diteruskan serta bahasa Melayu dimartabatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pimpinan dan Penuntut Pusat Pengajian Pondok YIK di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Pada masa sama, Anwar menyifatkan proses rundingan damai yang berjaya dilakukan Malaysia bagi mengurangkan ketegangan di Myanmar menyebabkan serangan terhadap umat Islam terutama Rohingya jauh berkurangan.
Disebabkan itu, katanya, Malaysia akan teruskan proses pendamaian di antara Thailand dan Kemboja.null
“Mudah-mudahan situasi ini kekal dan juga membantu rakan-rakan Islam kita di negara berkenaan,” katanya.-BH Online