Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong, di Singapura, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan bersama Wong memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin.

Beliau berkata, ia termasuk projek strategik yang berpotensi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam negara.

“Kami turut membincangkan kerjasama baharu dalam pelancongan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan mengukuhkan hubungan ‘people-to-people’ sebagai asas persefahaman jangka panjang.

“Selain itu, memperhalusi perbincangan untuk berkongsi amalan terbaik dalam memperkasa undang-undang berkaitan ekonomi gig, yang kini menjadi salah satu sektor penting di kedua-dua negara.

“Malaysia dan Singapura sedang meneliti perkara ini daripada sudut perundangan dan dasar bagi memastikan pemain industri, khususnya pekerja gig, menerima perlindungan sewajarnya serta kebajikan mereka terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dalam konteks itu, beliau juga berkongsi inisiatif Malaysia dalam menyokong pekerja gig melalui perlindungan sosial dan dasar progresif sebagai sebahagian daripada usaha membina ekonomi digital yang berdaya saing.

Katanya, dalam perbincangan bersama Kim Yong pula, mereka sependapat mengenai kepentingan memanfaatkan sepenuhnya potensi pasaran besar ASEAN bagi meningkatkan perdagangan dua hala.

“Saya turut menegaskan peranan Malaysia sebagai hab halal utama rantau ini disokong oleh infrastruktur taman perindustrian halal, pensijilan bertaraf dunia serta kerjasama erat perdagangan di peringkat serantau.

“Kim Yong turut memaklumkan Singapura menghantar tenaga pengajar TVET ke Malaysia, selaras dengan komitmen bersama untuk memperkukuh kualiti dan memperkasa ekosistem TVET,” katanya.

Dalam konteks Kepengerusian ASEAN pula, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Malaysia dalam usaha membendung krisis di persempadanan antara Thailand dan Kemboja. 

Katanya, ia sekali gus mengangkat peranan aktif Malaysia dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau.-BH Online