KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak pernah berdiam diri dalam kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antara pihak terawal tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga pelajar itu.
“Pihak JKM ada pergi berjumpa dengan ibu Zara dan menawarkan perkhidmatan yang kami ada termasuk khidmat kaunseling.
“Bagi tindakan lain, kami masih menunggu siasatan dilakukan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai; Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengarah JKM Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Papar dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Pelajar berusia 13 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Nancy berkata, kebelakangan ini negara dikejutkan dengan pelbagai kes penderaan serta buli membabitkan golongan kanak-kanak.
“Kerajaan sentiasa mengambil tindakan (terhadap kes penderaan serta buli), namun saya ingin ingatkan bahawa menjaga keselamatan kanak-kanak bukan sahaja tugas kami (kerajaan) tetapi semua peringkat masyarakat.
“Jika kita melihat insiden seumpama itu, laporkan. Sekiranya anak anda datang mengadu mengenai perkara berlaku di sekolah, rumah mahupun luar rumah, dengarkan mereka.
“Laporkan segera ke Talian Kasih 15999 atau terus kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil yang boleh menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.
Mengulas mengenai Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak, beliau berkata, ia dilaksanakan di seluruh negara pada tahun lalu.
Katanya, sebanyak tujuh sekolah mengambil bahagian membabitkan seramai 2,519 peserta di Kuala Lumpur.
“Di daerah Brickfields, program ini sudah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai membabitkan 1,350 pelajar.
“Kejayaan itu memberi kami semangat untuk meneruskan program berkenaan pada tahun ini. Insya-Allah, pada tahun ini, kami akan melaksanakan program itu di 300 sekolah dan 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di seluruh negara.
“Ini adalah usaha berterusan untuk memastikan lebih ramai anak-anak tahu hak mereka dan berani bersuara apabila berasa tidak selamat,” katanya.
Nancy berkata, dalam dunia digital hari ini anak-anak bukan sahaja berdepan risiko di luar rumah tetapi juga di alam maya.
“Kini, ada banyak risiko terhadap anak-anak. Daripada penderaan fizikal dan emosi kepada pengabaian, eksploitasi dalam talian dan buli siber. Sebab itu, kita semua perlu lebih peka dan cakna.
“Anda semua adalah mata serta telinga masyarakat dan satu laporan tepat pada masanya boleh mengubah nasib seorang anak.
“Jangan takut atau ragu kerana lebih cepat aduan dibuat, lebih cepat nyawa dan masa depan anak itu dapat diselamatkan,” katanya.-BH Online