KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan pembabitan syarikat swasta besar dalam usaha membantu sekolah di negara ini, dengan menjadikannya sebagai ‘anak angkat’ mereka.
Perdana Menteri berkata, beliau meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 300 sekolah akan dijadikan sebagai anak angkat, mengambil kira negara mempunyai banyak syarikat besar.
“Setiap syarikat ambil satu sekolah sebagai anak angkat dan saya sasarkan sebanyak 300 sekolah akan dijadikan anak angkat kerana kita mempunyai banyak syarikat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan dilapor sedang memuktamadkan senarai tambahan bagi pelaksanaan program Sekolah Angkat Madani (SAM) tahun ini, yang mana 1,000 akan terbabit dengan peruntukan RM100,000 disediakan bagi setiap sekolah.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata pada peringkat pertama 504 sekolah bawah KPM dipilih syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta korporat swasta sebagai SAM.
Inisiatif ini adalah program kerja strategik antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan iaitu sekolah untuk meningkatkan pembangunan sosial, sahsiah dalam kalangan pendidik dan komuniti setempat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengulangi hasrta beliau supaya golongan saintis di negara ini memainkan peranan dalam memupuk minat pelajar di sekolah untuk mengejar kerjaya itu, termasuk meminati bidang berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, untuk itu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diberikan tanggungjawab untuk mengenal pasti 100 saintis yang akan ‘turun padang’ ke sekolah, sekali gus memberi tunjuk ajar kepada pelajar mengenai apa yang perlu mereka lakukan dalam usaha untuk menjadi saintis.
“Hari ini memandangkan Program MADANI Rakyat (PMR) dikendalikan MOSTI dan kita ada ramai saintis dari universiti dan agensi.
“Jadi apa yang MOSTI boleh buat adalah memilih 100 saintis dan mereka perlu turun ke sekolah-sekolah untuk memberi semangat kepada anak-anak apa yang harus mereka belajar untuk menjadi saintis.
“Pada masa sama, pendekatan itu membolehkan pelajar lebih minat subjek Matematik dan Sains,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana menteri menyifatkan PMR 2025 adalah kesempatan kerajaan untuk mendekati dan menyampaikan maklumat kepada rakyat secara terus, pada masa sama mengangkat program yang perlu diberi perhatian oleh agensi kerajaan.
“Pada masa sama, rakyat dapat melihat sendiri apa yang kerajaan lakukan,” katanya.-BH Online