Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan mewah dikehendaki memperbaharui cukai jalan dan insurans bagi kenderaan mereka yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebelum dibenarkan untuk membayar kompaun yang dikenakan. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tidak kira apa jenis kenderaan mewah yang disita, pemiliknya perlu memastikan cukai jalan dan insurans mereka sudah diperbaharui sebelum dibenarkan mengambil semula kenderaan masing-masing.

Beliau berkata, ketika ini pendekatan yang digunakan oleh pihak berkuasa ialah penguatkuasaan dan pemilik kenderaan mewah yang disita perlu menyelesaikan semua kompaun yang dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Tetapi untuk meletakkan satu tindakan yang lebih berat sudah tentu kementerian perlu melihat kembali Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebab akta sedia ada ini hanya membenarkan penguat kuasa menyita kenderaan berkenaan.

“Ini memandangkan kenderaan berkenaan tiada cukai jalan dan insurans jadinya tidak sepatutnya berada di atas jalan raya,” katanya ketika ditemui pada Program Keselamatan Rider ‘Pandasafe’oleh Foodpanda Malaysia dengan kerjasama awam dan swasta, di sini, hari ini.

Pada program itu, satu inisiatif keselamatan jangka panjang yang komprehensif di seluruh negara direka khas untuk melindungi dan memperkasakan rakan penghantar menerusi ekosistem keselamatan yang kukuh.

Sebelum ini, BH melaporkan sebanyak 53 kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit setiap satu, disita menerusi Ops Luxury dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang, kerana tidak memiliki cukai jalan dan insurans yang sah.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata operasi itu dilaksanakan selama tiga hari hingga hari ini.null

Menurutnya, antara disita ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) ultramewah jenis Rolls-Royce Cullinan bernilai RM3 juta milik seorang ahli perniagaan terkenal.

Loke berkata, walaupun kebanyakan kenderaan mewah yang disita ini adalah menerusi operasi yang dilakukan oleh JPJ, beliau yakin terdapat banyak kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans yang memandu di atas jalan raya.

“Selain menyita, operasi yang dilakukan itu juga bertujuan mendidik masyarakat supaya jangan mengambil pendekatan seperti ini kerana ia memberi banyak implikasi yang buruk selain kenderaan mereka disita dan perlu membayar denda,” katanya.

Sementara itu, pada program berkenaan, Loke berkata, usaha Foodpanda Malaysia adalah satu langkah proaktif dalam menyokong tenaga kerja ekonomi gig yang semakin berkembang di negara ini.

“Keselamatan rakan penghantar kita harus dianggap sebagai satu keutamaan nasional dan program yang dilaksanakan ini adalah suatu yang melangkaui soal kesedaran.

“Program ‘pandasafe’ inimenetapkan penanda aras baharu bagaimana syarikat boleh memikul tanggungjawab dalam menjadikan jalan raya kita lebih selamat buat pekerja gig,”katanya.-BH Online