Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Belanjawan MADANI 2026 bakal menekankan soal perkara ‘lantai dan siling’ dalam beberapa sektor dan segmen, selaras kerangka besar Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang dibentang bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berikutan sebarang perkara membabitkan pertumbuhan dan pelaburan tanpa membabitkan soal lantai bakal menimbulkan masalah di masa depan.

“Sekarang saya fikir kalau kita bicara soal pertumbuhan dan pelaburan tetapi tidak memikirkan soal lantai, (akan) jadi masalah kerana harga barang tidak susut.

“Dia (gaji) mesti naik sedikit dan kalau gaji itu naik setimpal atau lebih, dia tidak akan menekan seperti mana yang dirasai oleh sebahagian daripada rakyat kita dengan kos secara hidup,” katanya ketika ucapan penutup selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2026, di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Program berkenaan dihadiri kira-kira 300 wakil institusi penjawat awam, sektor industri, dewan perniagaan, teknokrat, pakar ekonomi, ilmuwan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan antarabangsa. 

Terdahulu, Amir Hamzah ketika berucap berkata Belanjawan 2026 yang juga belanjawan sulung yang mendukung matlamat RMK13 membabitkan langkah-langkah yang akan terus menaikkan siling dan lantai berteraskan tata kelola baik dalam pentadbiran.

Beliau juga berkata, Belanjawan 2026 akan terus menyokong sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi terutamanya membabitkan industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam, dalam meningkatkan daya saing negara.null

Pada masa sama, Anwar berkata, penurunan kadar tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia pada 19 peratus mungkin susulan kejayaan negara membantu menyelesaikan isu Thailand dan Kemboja. 

Katanya, ada beberapa hal yang Malaysia tetap dengan pendiriannya, namun ia dipersetujui oleh Presiden Donald Trump. 

Beliau berkata, libat urus diadakan pagi tadi turut membangkitkan kesan tarif terhadap sektor semikonduktor yang sebelum ini dikecualikan, namun kebanyakan syarikat berkenaan yang beroperasi di negara ini adalah syarikat dari AS atau syarikat yang mempunyai komitmen untuk meneruskan pelaburan dan pengeluaran di negara itu.

“Saya fikir syarikat ini tidak terkesan cuma ada beberapa yang lain yang terkeluar daripada peraturan tarif tersebut, tetapi saya percaya mereka ada juga seperti Infineon Technologies saya tidak tahu sama ada mereka ada operasi di AS, tetapi ini syarikat terbesar di Jerman yang memenuhi keperluan Jerman dan Eropah dan mungkin dengan negara lain,” katanya.

Selain itu, Anwar menyambut baik kerjasama sektor korporat yang menunjukkan reaksi positif terhadap inisiatif seperti Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat, yang kini menyaksikan penyertaan lebih 1,000 sekolah.

Katanya, kerajaan mencadangkan supaya syarikat swasta dan badan pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengambil 1,000 sekolah sebagai sekolah angkat.-BH Online