Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited membangunkan generasi baharu yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik dan teknikal, malah teguh dari segi akidah serta berteraskan nilai-nilai al-Quran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembangunan negara bukan sekadar tertumpu kepada aspek fizikal dan teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan pembinaan insan yang seimbang dari segi rohani dan intelektual.

“Saya percaya bahawa perubahan besar tidak berlaku hanya dengan niat yang baik. Ia menuntut sistem yang terancang, strategi yang realistik dan iltizam dari hati yang ikhlas.

“Benar, dalam membina masa depan negara, kita perlukan pembangunan fizikal, teknologi dan infrastruktur yang kukuh.

“Namun, perkara paling utama adalah semua pihak perlu membina insan yang seimbang, berakar pada nilai dan teguh akidahnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian World Quran Symposium 2025, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah menggerakkan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Huffaz dengan menyatukan dua kekuatan besar iaitu hafazan al-Quran dan latihan teknikal. 

“Kita mahu anak-anak tahfiz keluar dari madrasah dengan kemahiran di tangan dan kalam Ilahi terpahat di dada,” katanya.

Sementara itu, mengenai World Quran Symposium, Ahmad Zahid berkata, program berkenaan bukan sekadar medan ilmiah yang menghimpunkan tokoh cendekiawan, malah ia adalah langkah strategik bagi memperkukuh posisi Malaysia sebagai peneraju wacana Islam global.null

“Malaysia hari ini sedang tampil sebagai jambatan yang menyatukan warisan keilmuan dengan inovasi masa kini, sebagai pusat dialog Islam kontemporari yang berwibawa dan sebagai suara sederhana yang membawa prinsip di tengah kekeliruan dunia moden.

“Kehadiran ulama dan ilmuwan dari pelbagai penjuru dunia ke tanah air ini bukan hanya satu penghormatan, malah bukti Malaysia bukan sekadar sebahagian daripada peta tamadun Islam, tetapi sedang memimpin hala tuju masa depannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap simposium berkenaan tidak berakhir di atas pentas dan kertas saja, tetapi menjadikan ia sebagai titik tolak kepada satu gerakan pemikiran Qurani yang segar, menjadi pemangkin dasar negara dan menyatukan tekad untuk membina Malaysia di atas landasan nilai-nilai wahyu.

“Saya menyeru kepada semua pemimpin, ulama, penjawat awam, aktivis masyarakat dan seluruh rakyat kembalilah kepada Al-Quran. 

“Jadikan ia sebagai kompas yang memandu arah, cermin yang menilai diri, dan tiang utama dalam mendirikan tamadun bangsa,” katanya.-BH Online